Friday, March 20, 2009

Sayyid Jamaluddin Al-Afghani pengasas konsep Pan Islamic

Sayyid Jamaluddin Al-Afghani (1838 -1897)

Nama sebenar Sayid Jamaluddin al-Afghani ialah Muhammad Jamaluddin al-Afghani al-Husaini. Namun, terdapat sesetengah sumber menyatakan nama sebenarnya ialah Muhammad ibn Safdar al-Husain. Dilahirkan pada tahun 1838 Masihi bersamaan dengan 1254 Hijrah, beliau dibesarkan di tempat lahirnya, iaitu diAsadabad, salah satu kawasan di Zon Kunar di Afganistan. Datuknya, Sayid Ali pernah tinggal untuk sementara waktu di Hamedan, Iran dan beliau dikenali sebagai Hamadani. Manakala ayah Sayid Jamaluddin al-Afghani, Sayid Safdar, menetap di Kabul pada 1844 Masihi bersama keluarganya. Beberapa tahun kemudian, beliau berpindah ke Hamedan, Iran, disebabkan tekanan politik yang diletakkan ke atasnya oleh Raja Afghanistan. Walau bagaimanapun, menurut sumber dari beberapa warganegara Iran, beliau dilahirkan di As’adabad di Zon Hamedan, Iran. Sayid Jamaluddin al-Afghani mempunyai pertalian darah dengan seorang periwayat hadis yang terkenal, Imam at-Tarmizi dan seterusnya kepada Saidina Ali bin Abi Talib. Beliau adalah seorang dari umat Islam dari zaman moden ini yang pertama menyedari bahaya penjajahan Barat. Beliau dengan sedaya upayanya memperingatkan umat Islam global tentang bahaya tersebut. Usahanya menyeluruh sehingga beliau sanggup menjelajah negeri-negeri timur India, Iran, Mesir dan Turki. Beliau juga berperanan dalam dalam usahanya menyatu padukan umat Islam dan melupakan perbezaan mazhab bagi menghasilkan kekuatan umat untuk menghadapi dominasi Barat. Beliau juga turut mengembara ke kota-kota Eropah seperti London,Paris,Munich dan Petersburg untuk mengkaji dan mencari titik kelemahan Barat.Beliau kemudian merumuskan bahawa Barat menjadi kuat kerana penguasaan ilmu mereka terutama dalam bidang sains dan teknologi. Namun Barat tidak mempedulikan konsep beragama dan pandangan agama mereka terhadap ilmu-ilmu mereka. Beliau kemudian merumuskan bahawa Islam itu sendiri mewajibkan umatnya menuntut ilmu berlandaskan wahyu pertama iaitu ‘iqra’.Beliau menggesa umat Islam bersungguh-sungguh mempelajari ilmu sains dan teknologi Barat namun menegaskan supaya ilmu yang dituntut mempunyai semangat dan roh islam. Namun apa yang jelas beliau amat menegaskan supaya umat islam bangkit menentang penjajahan Barat dan menegakkan syiar Islam bagi menubuhkan Negara Islam yang mempunyai perlembagaan berteraskan Islam dan kembali kepada konsep daulah ilamiyah seperti pada zaman Nabi Muhammad S.A.W yang membawa sistem Khalifah(Islam global). Begitulah konsep Pan Islamic yang dibawa beliau. Antara tokoh yang menjadi anak muridnya ialah Syeikh Muhammad Abduh yang berasal dari Mesir . Mereka bertemu apabila Sayyid Jamaluddin menjelajah ke Mesir selepas beliau dibebaskan dari tahahan penjara di India berikutan peranannya menyampaikan misi dakwah membangkitkan semangat dan kesedaran menentang penjajah Barat. Sayyid Jamaludin sempat mentarbiyah Muhammad Abduh tentang konsep Pan Islamic sebelum beliau diusir dari Mesir pada tahun 1882 sewaktu ketibaan Inggeris di Mesir. Pengaruh Pan Islamic kemudiannya tersebar meluas di Mesir setelah Muhammad Abduh berjaya mentarbiyah seorang lagi tokoh iaitu Muhammad Rashid Ridha dan seterusnya diperjuangkan oleh pengasas dan pemimpin Ikhwan Muslimin iaitu As-Syahid Hassan Al-Bana dan kemudiannya dipimpin oleh As-Syahid Sayyid Qutb dan terus melebarkan daulah Islamiyah keseluruh pelusuk dunia termasuk Malaysia sendiri,menerusi siri-siri tarbiyah yang diikuti oleh pelajar-pelajar melayu di Mesir.Mereka kemudiannya kembali ke tanahair dan menyebarkan pegaruh Ikhwan Muslimin menerusi pegerakan-pegerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia (PAS) dan Angkatan Belia Islam (ABIM). Sesungguhnya Sayyid Jamaludin memainkan peranan penting sebagai pelopor kebangkitan umat Islam terhadap dominasi penjajah Barat dan pemimpin yang berfahaman sekular. Beliau akhirnya hidup dalam buangan di Paris kerana pelbagai usaha kuasa-kuasa barat menerusi pemimpin-peminpin sekular hasil didikan mereka untuk menangkap beliau kerana usaha beliau menyedarkan umat Islam supaya bangkit melawan penjajah. Disana beliau menjemput anak muridnya Syeikh Muhammad Abduh bagi menggerakkan perjuangan Pan Islamic berpusat disana. Mereka menubuhkan 'Al- Urwat Al- Wuthqa' sebagai sebuah pergerakan dan penerbitan majalah untuk menyebarkan konsep Pan Islamic kepada umat islam diseluruh pelusuk dunia.

Beliau kemudiannyan meninggal dunia pada tahun 1897 Masihi bersamaan 1314 Hijrah ketika berusia 60 tahun dan beliau dikebumikan di Istanbul. Pada lewat tahun 1944, jenazah Sayid Jamaluddin al-Afghani dibawa ke Afghanistan atas permintaan kerajaan Afghanistan. Jenazahnya dikebumikan di Kabul di dalam Universiti Kabul. Sebuah mousoleum telah dirikan untuknya.

No comments: