yang setia mengikuti blog ini dan ingin mengikuti

Firman Allah SWT:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Surah Al-Hujurat ayat 13)

Innity

Tuesday, March 24, 2015

ULASAN PALING ILMIAH TENTANG ENAKMEN HUDUD KELANTAN

 Dr.MAZA

ENAKMEN JENAYAH SYARIAH KELANTAN

Ramai yang bertanya pendirian saya tentang enakmen hudud yang dibentangkan oleh Negeri Kelantan baru-baru ini.

1.Secara umumnya saya telah membentangkan kertas kerja dan menulis beberapa artikel mengenai hudud. Boleh dirujuk pandangan umum saya dalam tulisan-tulisan berkenan. Demikian juga banyak ucapan saya dalam pelbagai seminar, forum dan dialog boleh didapat di internet.

2. Pada dasarnya, saya menyokong hasrat baik Kerajaan Kelantan. Hudud itu asasnya ada dalam al-Quran dan as-Sunnah. Maka seorang muslim tidak boleh menentang hudud yang terdapat dalam kedua sumber agung tersebut.

3. Dalam masa yang sama kita hendaklah tahu bahawa perincian ataupun pendetilan undang-undang hudud itu kebanyakannya tidak disebut dalam al-Quran dan as-Sunnah. Ataupun mungkin disebut dalam beberapa nas, tetapi dari segi perbincangan fekahnya, boleh diandaikan pelbagai tafsiran, ini yang yang disebut sebagai zanniah al-dilalah (dalil yang boleh berikan lebih dari satu andaian).

4. Maka, pendetilan kepada undang-undang hudud kebanyakannya adalah ijtihad ataupun kesimpulan pandangan hukum yang dirumuskan oleh sarjana muslim dari pelbagai latar. Maka, kita dapati terdapat perbezaan dalam pendetilan hukum seperti kadar curian, suasana undang-undang itu dilaksanakan, bagaimana hukuman dilaksanakan, apakah taubat menggugurkan hukuman ataupun tidak, apakah mengandung cukup sebagai bukti dan lain-lain.

5. Walaupun kita tidak boleh membantah asas hudud dalam Islam, namun kita boleh berbeza pendapat, tidak bersetuju ataupun menolak pemilihan pandangan-pandangan sarjana dalam penetapan hukuman bagi sesuatu enakmen. Kita mungkin boleh mencadangkan pandangan yang lain dari ijtihad yang lain. Namun, proses itu semua hendaklah dalam suasana ilmiah dan menghormati hukum asas.

6. Suasana baru yang dihadapi oleh umat Islam hari ini menuntut ijtihad-ijtihad baru berkaitan hudud. Ini turut disuarakan oleh sarjana-sarjana besar fekah di zaman ini seperti al-Syeikh Mustafa Zarqa r.h, Muhammad Abu Zahrah, r.h, Dr al-Qaradawi dan lain-lain. Justeru, al-Syeikh Mustafa Zarqa tidak bersetuju hukuman rejam di zaman ini.

7. Soal latar keadaan untuk perlaksanaan sesuatu hukum juga hendaklah dikaji dengan teliti. Untuk memudahkan pemahaman orang awam, sedekah umpamanya merupakan satu syariat yang disebut dalam al-Quran dan as-Sunnah. Tiada siapa pun boleh membantah galakan bersedekah. Namun, bagi individu yang melaksanakan sedekah, dia mungkin boleh dipertikaikan ataupun dipersoalkan di sudut kelayakan dirinya, kesesuaian masa, kesesuaian sasaran sedekah, keutamaan yang patut didahulukan, jenis barangan yang diberikan, kesan sedekahnya, cara dia bersedekah dan seumpamanya. Mempertikaikan kebaikan dan syariat sedekah itu adalah merosakkan akidah. Namun, membincangkan semula cara, pendekatan, keadaan individu yang bersedekah itu adalah dibolehkan.

8. Umat Islam hendaklah berhati-hati jangan sampai mempertikaikan syariat hudud itu sendiri. Pun begitu mereka boleh bertanya balas, tidak bersetuju dengan beberapa ijtihad berkaitan hudud yang dipilih.

9. Saya sekali lagi menegaskan, saya menyokong hasrat Kelantan. Namun dalam masa yang sama, saya memohon agar diberikan ruang supaya enakmen itu disemak lagi oleh pakar-pakar perundangan Islam dan maqasid as-Syariah diperbagai peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

10. Semakan itu perlu agar kegagalan perlaksanaan hudud yang pernah berlaku di Libya, Sudan, Negeria, Pakistan tidak berulang di Malaysia yang akhir memberikan mesej salah bahawa syariat Islam itu tidak sesuai. Padahal yang tidak sesuai ialah pemilihan pandangan-pandangan ijtihad yang telah dibuat oleh mereka.

11. Kita juga hendaklah mengelakkan gambaran hudud yang tidak kondusif dan seakan menggambarkan 'kekejaman' undang-undang yang telah berlaku bawah pentadbiran Taliban, cara hudud ISIS, Bokoharam dan lain-lain. Versi hudud mereka tidak memenuhi maqasid syariah yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah.

12. Umat Islam menyokong hasrat Kelantan. Dalam masa yang sama, ruang waktu untuk pandangan kesarjanaan di pelbagai peringkat hendaklah dibuka.

13. Kita umat Islam kini sedang hidup dalam era persepsi yang salah terhadap Islam dan ajarannya. Musuh-musuh Islam merancang persepsi yang salah ini. Jika kita tidak berhati-hati, hudud akan dijadikan senjata memberikan persepsi salah itu.

14.Hudud adalah pintu yang berat tapi indah lagi menyelamatkan. Maka, kita memerlukan rumah yang sesuai untuk memasangnya. Jika dipasang di rumah yang buruk, mungkin pintu indah tapi berat berat itu boleh meruntuhkan rumah. Namun, jika dipasang di rumah yang indah juga, maka keindahan pintu itu akan terserlah dan keselamatannya akan zahir.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamuaikum sahabat Naim. Rasanya ini pertama kali untuk beberapa tahun saya mencelah untuk memberi komen walaupun keadaan kesihatan saya semakin tidak baik.

Tidak ada sesiapapun orang yang beriman yang menolak Hudud yang sesungguhnya terdapat dalam Al Qur'an. Yang jelas ,nas yang qat'ie , tidak boleh ditolak kerana boleh menjadikan seorang muslim jatuh dalam kekafiran kalau dia mengetetahui hukum yang telah dijelaskan oleh Allah melalui kalamNya.

Tetapi dalil yang bersifat zanni, ulama memberi tafsiran berdasarkan Ilmu dan konteks dimana mereka berijtihad.

Dan saya tidak berhenti mengkaji dan masih mengkaji dan saya mendapati pandangan Dr Maza adalah kebenarannya. Ijtihad Imam Abu Zahrah mengenai hukum rejam kepada penzina, telah di kritik hebat oleh sebahagian besar Ulama semasa hayatnya. Tetapi ijtihad Imam Abu Zahrah ini telah didokong ulama kontemporari seperti Dr Yusuf Al-Qaradawi dan ramai lagi termasuk Dr Yasser Auda, Dr Tariq Ramadan, Dr Muhammad Salim Alwa dan beberapa tokoh-tokoh gerakan Islam lainnya.

Kegagalan Pakistan, Nigeria dan Sudan adalah disebabkan negara-negara ini melaksanakan hudud secara gopoh dan banyak mengunakan ijtihad yang mungkin sesuai di zamannya tetapi tidak melihat konteks kini. Para hakim di negara-negara tersebut, takut untuk menjatuhkan hukuman kesalahan hudud yang dalilnya berdasarkan ijtihad ulama silam. Akibatnya banyak persalah dipenjarakan untuk masa yang lama dan ada yang masih meringkuk dipenjara. Negara-negara barat melihat hudud di pandangan yang negatif dan lebih dahsyat lagi golongan liberalis agama mengambil pandangan sarjana barat yang anti Islam, untuk turut sama menghentam akidah dan syariah Islam.

Sebagai seorang yang beriman kita tidak akan pernah menentang hukum hudud. Tetapi perlulah mengikuti ijtihad ulama yang telah mengkaji ijtihad ulama silam tanpa memperkecilkan usaha ijtihad ulama silam yang telah berjuang menjadi benteng umat ini dari segi aqidah dan syariah.

Dan apa yang terjadi pemimpin Pas kita di Kelantan telah dipancing oleh UMNO yang sejarah politiknya tidak selalu jujur.Bahkan UMNO mahu Pas keluar atau dikeluarkan oleh Pakatan , supaya UMNO/BN boleh memerintah.

Dalam pakatan ada Pas, Dap dan PKR. Dap ada ajenda tersendiri. Kebanyakan pemimpin mereka beragama kristian. Dan dalam PKR, adalah islamis, leberalis dan pelbagai lagi. Pada pendapat saya yang kerdil ini, Pas perlu menjadikan dakwah sebagai ajenda utama kerana mentaliti umat Islam telah lama dijajah (Tanah Melayu telah dijajah selama 600 tahun). Berapa ramai umat Islam yang masih gagal memahami dan mengamalkan Islam secara utuh sehingga banyak berlaku masalah sosial. Peningkatan penganut lain kembali kepada agama fitrah-Islam , begitu perlahan berbanding dengan kemasukan orang Kristian dan Yahudi di Barat ke agama Islam begitu meningkat dengan drastik sehingga terpaksa diujudkan Islamiphobia oleh badan kerajaan dan NGO yang anti Islam.

Maaf panjang sangat ulasan ini.Saya mohon ampun kepada Allah sekiranya saya melakukankan kekhilafan kerana saya manusia biasa.

Wallahhuaqlam. Salam perjuangan dari saya

Zubir Jaafar.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

nuffnang

Bloglist 1

Apa Perkongsian Mereka (10 Paling Terkini)