PEKAN: Selepas seorang mahasiswa Ekhsan Bukhari cedera dibelasah samseng-samseng Umno di Kampung Datuk Keramat di sini, dua lagi peristiwa melibatkan samseng iaitu seorang mahasiswa pecah bibirnya ditampar samseng ketika mengedar risalah di Kampung Sri Makmur.
Dalam peristiwa kedua pula rombongan empat orang mahasiswa telah dimaki hamun dan diusir oleh wakil rakyat BN sendiri bersama penyokong-penyokong Umno.
Seorang mahasiswa Mohd Alif Ashraf, 21, ketika bercakap kepada Harakahdaily berkata, beliau turut cedera dibelasah samseng Umno.
Katanya, dalam perjalanan beliau bersama tiga mahasiswa lain di Kampung Sri Makmur dalam Dun Pulau Manis, empat lelaki dengan dua buah motosikal telah datang lalu mengusir mereka menyuruh pulang.
“Dalam perjalanan balik kami singgah di masjid kampung itu, tiba-tiba beberapa orang menyekat dan bertanya adakah kami meminta izin dulu sebelum ke sini. Belum sempat menjawap, seorang lelaki menerkam lalu mencekik leher dan tampar muka saya sehingga pecah bibir.
“Saya tidak melawan kerana dalam rombongan kami hanya saya sahaja lelaki dan tiga yang lain perempuan. Saya hanya minta maaf kemudiannya kami balik,” ujarnya.
Mohd Alif berkata, apa yang beliau kesalkan ialah sikap kasar penyokong-penyokong Umno sedangkan rombongannya datang hanya untuk mengedar risalah bukannya melakukan jenayah.
Katanya, perkara biadab seumpama ini tidak sepatutnya berlaku di kawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru beberapa hari ini memberi amaran kepada Pakatan Rakyat supaya tidak membuat huru-hara jika kalah pilihan raya umum (PRU).
“Hari ini, belum PRU lagi, penyokong-penyokong Umno di Parlimen Pekan, tempat Najib telah membelasah mahasiswa dan cetuskan huru hara,” katanya.
Dalam peristiwa kedua, dua orang mahasiswa lelaki dan dua perempuan dalam perjalanan ziarah di Kampung Tanjung Batu Ganchong dalam Dun yang sama, Adun Pulau Manis bersama penduduk kampung dan seorang anggota polis telah dimaki hamun dengan kata-kata kesat.
Menurut penyelaras kempen ‘Gerakan Mahasiswa 13’ Syed Ali Syed Othman, dalam kejadian tersebut, risalah yang dibawa mahasiswa turut dirampas dan dihumban ke longkang.
Syed Ali berkata, jika Najib betul-betul rasa kuat dan selesa di Parlimen Pekan apa perlunya menghantar samseng untuk memukul mahasiswa yang datang membawa hujah dan idea, hanya mencemarkan imej Najib sebagai Perdana Menteri.
No comments:
Post a Comment