GAMBAR (kiri) menunjukkan lakaran suspek yang menggelikan hati. Gambar (kanan) pihak media Bolivia meletakkan gambar lakaran supek pada muka lelaki yang ditangkap polis.
LA PAZ - Gambar lakaran yang dianggap paling hodoh di dunia berjaya membantu polis Bolivia menangkap seorang lelaki dikehendaki kerana kes pembunuhan pemandu teksi.
Pemandu teksi itu, Rafael Vargas dibunuh pada Mac lalu dan mayatnya ditemui mempunyai kesan 11 tikaman sebelum dibakar.
Beberapa pegawai polis kemudian membuat rayuan kepada orang ramai bagi mencari suspek pembunuh.
Seorang penduduk kemudian melukis satu gambar yang dipercayainya sebagai suspek pembunuh pemandu teksi itu.
Namun, lakaran itu dianggap seperti lukisan kanak-kanak berbanding satu bukti forensik.
Gambar yang dilukis itu mengandungi sepasang mata, bibir senget, hidung berbentuk penyapu sampah, kening lurus, rambut seperti atap bumbung dan tiada telinga.
Imej yang disiarkan oleh stesen televisyen Bolivia itu turut dipaparkan di laman YouTube dan menjadi tontonan ramai pengguna Internet.
Walaupun gambar tersebut menggelikan hati, ia berjaya membantu polis menangkap seorang lelaki yang menjadi suspek dalam kes pembunuhan itu.
Namun, ekoran undang-undang ketat Bolivia, wajah suspek tersebut tidak disiarkan tetapi pihak media meletakkan gambar lakaran itu pada muka lelaki yang ditangkap itu. - Agensi
No comments:
Post a Comment