Tindakan JAIS menyerbu sebuah gereja yang mengadakan majlis makan malam. Didakwa awalnya, penganjuran majlis berbuka puasa. Dikhabarkan tindakan JAIS itu untuk siasatan. Dikhabarkan juga, JAIS tidak mempunyai waran. Berbagai-bagai lagi khabar yang kedengaran.
Tindakan JAIS itu dinilai tidak professional oleh sebilangan pihak. Maka lahir beberapa kenyataan yang menegur tindakan JAIS itu. Tiba-tiba, Hasan Ali keluar kenyataan menyatakan sokongan terhadap tindakan JAIS.
Tidak lama kemudian, kedengaran berita pula bahawa tindakan gereja itu adalah salah satu usaha hendak memurtadkan umat Islam. Keluar pula article bahawa ada seseorang yang pernah mendapat bantuan dari gereja, dan mahu dimurtadkan.
Kemudiannya lagi, keluar berita bahawa majlis makan malam itu bertujuan untuk mengutip dana kewangan bagi membantu mangsa HIV yang selama ini dibiayai oleh pihak gereja terbabit. Tanpa kita nafikan, memang antara pesakit HIV itu adalah orang yang beragama Islam.
KENAPA IA TERJADI?
Ia dikupas dari beberapa sudut.
Sudut pertama:
Aku ada beberapa pengalaman tentang orang yang berkaitan dengan bantuan dari gereja. Pertamanya, seorang bapa kepada tiga orang anak yang terlibat dengan ah long. Setiap hari, Ah Long datang ke rumah untuk mendapatkan wang. Ah Long itu bukan sekadar mengganggu hidup sang bapa, malahan anak dan isterinya juga diganggu.
Keadaan itu menyebabkan sang bapa hidup tertekan, sehingga terpaksa “menagih simpati” dari jabatan agama Islam. Namun, dia tidak dapat yang dihajatinya. Seterusnya, dia menagih simpati dari teman-teman yang beragama Islam. Teman-temannya hanya boleh menolong sedikit sahaja, tidak dapat menyelesaikan masalahnya itu juga.
Dipendekkan cerita, dia telah bertemu dengan seorang teman beragama kristian dan menceritakan masalah peribadinya itu. Teman itu menawarkan bantuan, dengan mempertemukannya dengan pihak gereja untuk mendapatkan bantuan kewangan tersebut.
Dalam kes ini, apakah pihak jabatan agama Islam perlu dipersalahkan, atau pihak gereja yang perlu dipersalahkan?
Kedua, seorang ibu yang ditinggalkan suami yang tidak bertanggungjawab tanpa menyediakan kepada mereka nafkah. Keluarganya miskin. Dua orang dari lapan orang anaknya tidak bersekolah lagi disebabkan kesempitan hidup. Sudah puas dia meminta bantuan dari pihak Islam; sama ada individu muslim, ataupun dari pihak jabatan agama Islam. Memandangkan birokrasi yang amat menyukarkan, keluarga itu tidak semakin senang, malahan hidup mereka semakin susah.
Jirannya yang beragama kristian telah mengkhabarkan perkara ini kepada pihak gereja, menyebabkan pihak gereja telah menghantarkan wakil mereka untuk “follow up” perkara ini. Semenjak itu, segala makan minum keluarga mereka dibiayai oleh pihak gereja, sehinggakan di bulan Ramadhan, boleh dikatakan setiap minggu wakil gereja datang untuk berbuka puasa bersama dengan mereka.
Dalam kes sebegini, apakah perlu dipersalahkan kepada pihak gereja, atau pihak jabatan agama Islam?
Ketiganya pula adalah berkait dengan seorang kawan yang berhampiran dengan rumahku. Anaknya sejak dilahirkan lagi dihidap sakit jantung berlubang. Keadaan keluarganya miskin. Kawanku itu bekerja sebagia driver lori sahaja, yang mempunyai gaji tidak seberapa. Keluarga mereka hidup dalam keadaan berhutang semata-mata hendak menyelesaikan bayaran wang di IJN untuk anaknya.
Setelah kemenangan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor, aku bersama Eddie Putra telah berusaha untuk mendapatkan bantuan kewangan dari Lembaga Zakat Negeri Selangor. Semua dokumen yang berkaitan aku hantarkan menerusi Pejabat Exco agama Kerajaan negeri Selangor.
Sehingga hari ini, sebarang khabar berita tentang dokumen itu tidak diketahui statusnya. Walaubagaimana pun, pihak pejabat exco agama dan lembaga Zakat Selangor tidak perlu bimbang, kerana anak kawanku itu telah meninggal dunia disebabbkan penyakitnya itu.
Semasa hayat anak kawanku itu, dia pernah berkata, “sesiapa sahaja yang tawarkan kewangan kat aku, aku akan terima, tidak kira dari apa agama sekalipun”.
Cuba bayangkan kalau berita ini sampai kepada pihak gereja, lalu mereka hantar wakil untuk menawarkan biaya kewangan perubatan kepada anak kawanku itu. Apakah ia perlu disalahkan kepada pihak gereja, ataupun dari pihak pejabat exco agama negeri Selangor atau lembaga zakat?
Sudut kedua pula;
Padaku, semua agama itu ada agenda masing-masing. Amat bohong jika kita kata bahawa mereka tidak mempunyai niat untuk menyebar luaskan agama mereka.
Kebajikan yang mereka tawarkan sudah pasti mempunyai motif. Aku kira, ia bukan sekadar wujud dalam diri orang yang beragama kristian, tetapi wujud juga dalam diri orang yang beragama Islam. Malahan, setiap parti politik atau individu politikus pun, apabila menyampaikan sesuatu bantuan kewangan atau kebajikan, mesti mempunyai motif sebegitu. Jika mereka mengatakan tidak, ketahuilah itu satu penipuan.
Isunya sekarang, kenapa gereja boleh tawarkan kebajikan sebegitu, tetapi tidak mampu dilakukan oleh pihak jabatan agama Islam. Gereja tidak mendapat biaya dari pihak kerajaaan, malahan perlembagaan Malaysia sendiri menyatakan larangan tersebut. Lebih menarik lagi, dalam perlembagaan Malaysia sendiri mengakui bahawa kewangan Negara boleh disalurkan kepada badan-badan agama islam di Malaysia. Walaupun begitu manja sekali peruntukan perlembagaan Malaysia kepada pihak badan-badan agama Islam di Malaysia, tetapi mereka masih lagi tidak dapat menjadikan Islam sebagai agama yang menawarkan kebajikan, tetapi yang berjaya melakukan ini adalah pihak gereja.
BAGAIMANA?
Pihak jabatan agama Islam perlu diadakan transformasi dari sudut pengurusan zakat. Mereka tidak boleh tertumpu kepada usaha pengumpulan duit zakat, tetapi perlu juga melakukan pemerkasaan penyebaran zakat kepada mereka yang perlu.
Birokrasi dalam pemberian zakat perlu dihapuskan. Mudahkan urusan pemberian zakat. Jangan tunggu pihak yang susah sahaja yang menagih dari pihak pungutan zakat, tetapi pihak pengurusan zakat perlu menagih pahala dengan mencari orang-orang yang susah untuk diberikan zakat.
Adapun dari pihak hasan ali yang menyatakan bahawa beliau sedia dipecat dalam isu ini. Secara peribadi, aku tidak bersetuju beliau dipecat, tetapi yang paling tepat adalah beliau sendiri perlu meletakkan jawatan kerana beliau telah terbukti gagal ketika menjadi exco agama dalam kerajaan Negeri Selangor dalam memperkasakan perkara ini.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Ust Wan Ji @ Al-Bakistani
No comments:
Post a Comment