Thursday, May 12, 2011

Editor Utusan Malaysia Patut Di ambil Tindakan, Hishammuddin Tun Hussein Sila Jalankan Tanggungjawab Anda Sebagai Menteri Yang Dibayar Gaji

SHAH ALAM 12 MEI : Presiden Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), Hata Wahari mencadangkan satu tindakan tegas dikenakan ke atas pengarang berita yang tidak mengamalkan etika kewartawanan dalam menyampaikan isu semasa supaya didakwa di mahkamah atau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ini kerana, berita-berita yang mengandungi unsur fitnah dan hasutan dengan mudah boleh membakar sentimen rakyat yang akhirnya menjejaskan keharmonian negara.

Oleh yang demikian, Hata yang juga bekas wartawan kanan Utusan Malaysia itu berpendapat, adalah wajar individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita berunsur provokasi ini dikenakan hukuman setimpal.

"Sebenarnya tindakan lebih keras patut diambil dan memastikan editor yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran berita-berita tersebut, bukan sahaja didakwa di mahkamah atas Akta Fitnah tetapi patut ditahan di bawah Akta ISA kerana cuba mencetuskan pergolakan perkauman dan keagamaan di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Tv Selangor bagi mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia Sabtu lalu bertajuk "Kristian agama rasmi?" yang menimbulkan reaksi pelbagai pihak.

Laporan yang dipetik Utusan daripada dua laman blog pro Umno itu kemudiannya mengundang komentar dari menteri termasuk Perdana Menteri yang seolah-olah memperakui laporan Utusan Malaysia tanpa menyiasat terlebih dahulu kesahihannya.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini tiada sebarang bentuk tindakan dikenakan atau diambil ke atas Utusan, mahu pun blogger terbabit.

Senario ini bagaimanapun berbeza apabila lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan dibekukan permit setelah menyiarkan berita berkaitan salah satu agensi kerajaan.

"Saya menyokong tindakan kerajaan Pulau Pinang agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan terhadap Utusan atas laporan yang tidak bertanggungjawab dan mengenepikan prinsip-prinsip kewartawanan itu sendiri," tambahnya yang bersetuju dengan tindakan kerajaan Pulau Pinang meminta KDN mengambil tindakan tegas ke atas Utusan.

Malah menurut Hata bukan sahaja kerajaan Pulau Pinang yang meminta KDN mengambil tindakan terhadap Utusan, tetapi banyak lagi pihak lain termasuk NUJ akan berbuat demikian kerana tindakan melampau Utusan yang kerap bermain dengan isu agama dan perkauman.

Jelasnya lagi, Utusan kini semakin jelas tersasar daripada landasan yang sepatutnya dalam memberi informasi yang berguna kepada rakyat, sebaliknya pula meniup api kemarahan rakyat dengan memainkan isu-isu sensetif sebegini.

"Kita mempersoalkan bagaimana sebuah akhbar bertindak sebagai tidak bertanggungjawab dan mengenepikan kepentingannya kepada orang ramai?

"Sekiranya KDN terus diam membisu tanpa mengambil tindakan tegas terhadap Utusan maknanya mereka sebenarnya menyokong apa-apa tindakan yang dilakukan oleh editor-editor Utusan ini," katanya lagi.

Jelas Hata, tindak tanduk Utusan melalui laporannya yang hanya mahu memastikan orang Melayu terus menyokong Umno-BN dengan mencetuskan kemarahan rakyat hanya mendatangkan implikasi buruk kepada negara.

Semalam kerajaan negeri Pulau Pinang telah memfailkan aduan rasmi mendesak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas terhadap Utusan Malaysia ekoran laporan yang mengaitkan DAP dengan konspirasi Kristian.

Ketua Menterinya Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebulat suara menyokong usul itu termasuk dua wakil rakyat Umno yang tidak mempercayai laporan tersebut.



Berikut pula ialah surat yang ditulis KM P.Pinang Lim Guan Eng, yang turut meminta tindakan diambil keatas laporan palsu akhbar itu:

YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn,
Menteri Dalam Negeri,
Kementerian Dalam Negeri Malaysia. 11 Mei 2011
Yang Berhormat Datuk Seri,

Tindakan Keras Ke atas Laporan Palsu Utusan Malaysia Tentang Konspirasi Di Antara DAP Dan Paderi-paderi Kristian Di Pulau Pinang Untuk Menubuhkan Sebuah Negara Kristian Dan Melantik Perdana Menteri Beragama Kristian.

Kerajaan negeri Pulau Pinang secara rasmi ingin meminta Yang Berhormat Menteri mengambil tindakan keras ke atas lapuran palsu yang dibuat oleh Utusan Malaysia pada muka depannya tanggal 7hb Mei tentang konspirasi di antara DAP dan paderi-paderi Kristian di Pulau Pinang untuk menubuhkan sebuah negara Kristian dan melantik Perdana Menteri beragama Kristian.

Ini diputuskan secara sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (EXCO) yang bermesyuarat pada pagi ini berikutan pengakuan dua ADUN UMNO daripada Pulau Pinang Hilmi Yahya (BN-Teluk Bahang) dan Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 10 hb Mei 2011 bahawa kedua-dua mereka tidak percaya konspirasi Kristian ini oleh Utusan Malaysia.

Memandangkan ada dua ADUN UMNO di Pulau Pinang yang kini tidak percayai laporan konspirasi Kristian oleh suratkhabar milikan UMNO, adalah jelas Utusan Malaysia telah laporkan suatu pembohongan dan fitnah yang amat bahaya sekali. Betapa bahaya pembohongan ini boleh dilihat dengan begitu banyak laporan polis yang dibuat oleh ramai pemimpin UMNO lain terhadap konspirasi Kristian ini.

Contohnya, demonstrasi yang mendapat ilham dari Pemuda UMNO Pulau Pinang pada 8hb Mei 2011 telahpun mengutuk YAB Ketua Menteri atas konspirasi Kristian dan membuka jalan alternatif percuma. Kerajaan negeri tidak ada masalah dengan demonstrasi terhadap YAB Ketua Menteri Pulau Pinang semasa upacara membuka jalan alternatif baru yang percuma di Jalan Bagan 29-Jalan Siram pada 8hb Mei.
Pemuda UMNO Pulau Pinang boleh mengambil pendiirian mahukan jalan bertol. Memang kerajaan negeri berpendirian berbeza bahawa suatu jalan alternatif percuma mesti disediakan sebelum mengenakan tol, yang juga mesti munasabah. Ini adalah semangat demokrasi mempunyai pandangan berbeza.

Akan tetapi, adalah salah dan bahaya untuk Pemuda UMNO Pulau Pinang mengadakan demonstrasi mengutuk dengan bahasa kesat YAB Ketua Menteri terlibat dalam konspirasi Kristian ini yang merupakan fitnah. Berdemonstrasi atas satu fitnah besar ini bukanlah demokrasi tetapi satu tindakan rakus yang mudaratkan keselamatan negara.

Paderi-paderi Kristian dan Christian Federation Malaysia, yang mewakili 90% penganut Kristian di Malaysia, menafikan konspirasi Kristian ini. Utusan Malaysia tidak menarik balik dan meminta maaf atas laporan palsu ini, sebaliknya terus memainkan isu ini. Kini, laporan palsu ini disebarkan luas dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat yang mengancam keharmonian kaum dan agama.

Kerajaan negeri Pulau Pinang memang mendokong kebebasan maklumat dan kebebasan akhbar sebagai suatu hak asasi manusia dan demokrasi. Akan tetapi kebebasan ini tidak bermakna memberikan kebebasan untuk membohong dan membuat fitnah. Laporan palsu ini berniat jahat, tidak lain tidak bukan serupa bermain dengan api yang boleh membakar satu Malaysia dengan sentiman perkauman dan ekstremis berdasarkan suatu pembohongan dan fitnah.

Jika ada dua ADUN Pulau Pinang UMNO yang kini tidak percayai laporan palsu ini oleh suratkhabar milikan parti mereka, Yang Berhormat Dato Seri mesti bertindak tegas dan segera ke atas tindakan tidak bertanggungjawab Utusan Malaysia ini. Selain daripada mengarahkan Utusan Malaysia menarik balik dan meminta maaf atas laporan palsu ini, tindakan tegas juga mesti diambil keatas Utusan Malaysia dan pegawainya yang terbabit.
Sekian terima kasih.


Yang benar,


LIM GUAN ENG
KETUA MENTERI

H/daily

No comments: