Friday, July 2, 2010

Boleh jatuh berdosa jika menyertai parti politik yang dipenuhi kemungkaran dan tiada peranan dalam mengubah atau mengurangkannya:Dr Asri

Dipetik dari laman web Dr.Asri

Soalan: Yang amat saya kasihi Dr Asri, sehari dua ini heboh masyarakat mengulas tentang ulama muda menyertai parti tertentu. Alhamdulillah, saya mewakili kebanyakan rakyat Malaysia bersyukur kerana Dr. Asri yang kami sanjungi tidak mengambil tindakan yang sama. Tapi saya hendak tanya Dr, apakah pandangan Dr Asri tentang ulama yang menyertai pertubuhan politik yang tidak memperjuangkan Islam dan terlibat dengan banyak perbuatan-perbuatan tidak baik? Maaf jika soalan ini berbau politik.



Fazalina, Tanah Merah.



Jawapan DR MAZA: Saudari Fazalina, terima kasih atas penghormatan saudari dan rakyat Malaysia yang lain. Doakan agar saya dapat memilihkan langkah betul lagi diredhai Allah dalam kehidupan ini. Soalan yang saudari kemukakan itu adalah berkaitan Islam, maka ia hendaklah dinilai dengan pertimbangan al-Quran dan al-Sunnah, bukan pertimbangan emosi. Hukum dan pendapat agama hendaklah bebas dari cengkaman sentiment tertentu, sebaliknya berpijak atas fakta dan dalil. Apa yang akan saya kemukakan adalah kadar kefahaman saya terhadap dalil-dalil dalam hal ini. Pohon keampunan kepada Allah jika ia tersasar dari kebenaran. Maka, pendapat saya dalam hal ini seperti berikut;



1. Setiap pertubuhan atau kerajaan atau badan mempunyai dasar atau tujuannya yang tersendiri. Di samping slogan yang dilaungkan, kita juga hendaklah melihat bagaimanakah keadaan atau suasana di dalamnya. Meletakkan slogan yang baik atau islamik mungkin mudah, tetapi menghayatinya bukanlah semudah slogan yang dilaungkan. Ada pertubuhan atau kerajaan yang tidak berslogan Islam, tetapi suasana kebaikan dalamnya terbuka luas. Demikian sebaliknya.

Maka, penilaian terhadap sesuatu kumpulan atau parti atau pemerintahan hendaklah dilihat dari berbagai sudut. Maka, saya katakan hukum penyertaaan mana-mana individu ke dalam apa-apa pertubuhan atau parti atau kerajaan bergantung kepada beberapa perkara utama; pertama: niat, kedua: peranan, ketiga: kemampuan dan kadar kebaikan dan keburukan dalam penyertaan tersebut.

2. Ertinya, jika niatnya untuk kebaikan atau mendapat keredhaan Allah, maka itu suatu ibadah. Jika untuk mendapat habuan dunia, maka ia bukanlah kebaikan yang diterima Allah bahkan akan merosakkan orang lain. Sehingga jika seseorang menyertai parti atau kerajaan yang berslogankan Islam pun, jika niatnya salah, ia tidak mendapat pahala bahkan mungkin mendapat dosa. Hal ini kita dapat lihat bagaimana Nabi Yusuf a.s. meminta jawatan menteri pembendaharaan Mesir, padahal Raja Mesir ketika itu bukan seorang muslim. Sistem yang dipakai juga, bukan syariat Allah. Firman Allah: (maksudnya)

“Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan” (Surah Yusuf, 55-56).

3. Setelah niatnya betul, hendaklah dia mengetahui apakah peranan yang hendak dimainkan. Jika kumpulan atau kerajaan yang tidak sertai itu tidak Islamik atau menyanggahi prinsip-prinsip keadilan dan kebaikan, apakah peranan yang dia boleh mainkan untuk membaiki suasana tersebut atau menyampaikan mesej Islam ke dalamnya. Kata al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H):

“Sesungguhnya Yusuf a.s. hanya meminta kuasa setelah dia mengetahui bahawa tiada sesiapa yang setanding dengannya, yang dapat melaksanakan keadilan, pembaikian dan menyampaikan hak-hak fakir miskin. Dia melihat yang demikian itu adalah fardu `ain bagi dirinya, kerana tiada siapa lagi selain dia. Demikian juga hukumnya pada hari ini. Sekiranya seseorang insan tahu mengenai dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan hisbah, sementara tiada seseorang pun yang sesuai dan setanding dengannya maka jawatan itu fardu `ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifat yang melayakkannya iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain” (Tafsir al-Qurtubi, 9/21, Beirut: Dar al-Fikr).

Demikian kita, jika dirasakan penyertaan kita dalam mana-mana badan atau kerajaan dapat menegakkan kebenaran atau mengelakkan kezaliman dengan kadar yang termampu, maka penyertaan itu mendapat pahala. Jika tiada siapa yang mampu lakukan kecuali kita, maka ia merupakan satu kewajiban.

4. Jika badan yang disertainya itu dipenuhi kemungkaran dan tiada peranan dalam mengubah atau mengurangkannya, maka penyertaaan ke dalamnya adalah dosa. Ini disebabkan dia menambahkan kemeriahan golongan mungkar. Allah berfirman: (maksudnya)

“Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam al-Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka” (Surah al-Nisa: 140).

5. Setelah betul niatnya, dan jelas peranannya, hendaklah dia mengukur kadar kemampuan diri dalam memainkan peranan tersebut. Jika dia tahu bahawa dia tidak akan mampu mengubah atau mengurangkan kemunkaran tersebut, maka dia diharamkan menyertai kumpulan atau organisasi munkar itu. Jika dia tahu dia mampu dengan kadar peranan yang ingin dia mainkan, maka itu suatu perjuangan menyampaikan mesej Islam. Nabi Yusuf a.s tidak mengubah seluruh sistem kerajaan Mesir ketika itu tetapi dia berjaya menegakkan kebaikan dan keadilan dalam menguruskan khazanah kekayaan Mesir. Rakyat Mesir mendapat kebaikan dari kedudukan Yusuf a.s.

6. Ertinya, penyertaan ke dalam organisasi yang tidak Islamik bukanlah semestinya sehingga mampu mengubah keseluruhan sistem. Raja Najasyi Habsyah bernama Ashamah bin Abjar beriman dengan Nabi s.a.w tetapi beliau mengepalai Kerajaan Kristian Habsyah. Beliau tidak mampu mengubah kerajaannya, tetapi mampu melindungi sahabah-sahabah yang berhijrah mencari perlindungan di Habsyah dan menegakkan asas-asas keadilan untuk rakyatnya. Nabi s.a.w berutus surat dengan Najasyi, tetapi baginda tidak memerintahkan Najasyi meninggalkan kerajaannya dan berhijrah ke Madinah. Nabi memujinya, sekalipun beliau mati di Habsyah ketika mentadbir sebuah kerajaan Kristian. Sabda Nabi s.a.w

“Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi)”. (Riwayat al-Bukhari).

7. Berikutnya hendaklah difikir dan ditimbang sehalus-halusnya kadar maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kerosakan) yang akan terhasil dari penyertaan tersebut. Jika kebaikan mengatasi keburukan maka itu sewajarnya dilakukan. Jika sebaliknya, wajib dihindari. Namun dalam menilai maslahah dan mafsadah itu hendaklah berteraskan ilmu, teliti dan warak.

8. Apa pun, keikhlasan niat, tahu peranan, ada kemampuan dan penilaian yang matang adalah syarat penting dalam hal ini. Dalam Islam apa yang tidak mampu dibuat semuanya, jangan pula ditinggalkan semuanya. Setiap orang hendaklah menilai kadar baik dan buruk bagi setiap tindakan yang diambil berteraskan keredhaan Allah. Kita berdoa agar Allah membimbing kita semua ke jalan yang diredhaiNya.

No comments: