BEKASI, Indonesia 3 Julai – Barisan Pembela Islam (FPI) yang bimbang dengan usaha mengkristiankan umat Islam dari golongan miskin di sini, mewujudkan satu program dengan melatih aktivis muda bagi membimbing penganut Islam agar tidak terpengaruh dengan agama itu.
Ketua FPI Bekasi, Murhali Barda berkata, lebih 1,500 sukarelawan telah berdaftar untuk menyertai program itu yang memulakan latihannya di masjid-masjid hari ini.
Katanya, aktivis akan berperanan sebagai ‘polis moral’ bagi menakutkan-nakutkan orang Kristian yang cuba menghasut umat Islam daripada keluar dari agama suci itu
“Kami melaksanakan program ini kerana kami mahu menakutkan orang Kristian tentang tindakan cuba memurtadkan umat Islam. Jika mereka enggan menghentikan usaha itu, kami sedia berjuang,” tegas Murhali lagi.
Projek FPI itu dibuat selepas 14 buah bas yang dipenuhi orang miskin beragama Islam dari kampung-kampung dibawa ke Yayasan Mahanaim yang dikendalikan penganut Kristian pada 30 Jun lalu.
Khabar angin mengatakan upacara murtad beramai-ramai akan diadakan, namun disangkal jurucakap yayasan itu, Marya Irawan yang mengatakan, mereka hanya mendekati golongan miskin.
FPI tidak yakin dengan laporan itu setelah melihat rakaman video yang menunjukkan beratus-ratus penduduk kampung turun dari bas, kebanyakannya wanita bertudung yang mendukung bayi dan berlegar-berlegar di tepi kolam.
Dalam rakaman video itu, penduduk kampung terlibat bingung ketika ditanya tujuan mereka dibawa ke yayasan itu, malah ada antara mereka yang menjawab mereka diminta pergi ke sana dengan harapan akan mendapat sepinggan nasi.
Konflik agama semakin meningkat di Bekasi, kira-kira 10 kilometer dari Jakarta sejak beberapa bulan lalu bermula dengan kumpulan perusuh yang memaksa penutupan dua buah gereja tahun ini.
Bulan lalu, patung tiga wanita dirobohkan pihak berkuasa selepas beratus-ratus aktivis memakai topi tengkorak dan jubah putih mengadakan tunjuk perasaan di jalan-jalan raya, mendakwa monumen itu melambangkan konsep triniti Kristian. – AP
Sumber
No comments:
Post a Comment