Wednesday, July 22, 2009

Kematian Teoh: PM umum tubuh inkues


PUTRAJAYA: Kabinet hari ini memutuskan satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret akan dijalankan minggu depan bagi menentukan punca kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock minggu lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan itu dibuat kerana Kabinet mahu penyiasatan kematian Teoh dilakukan dengan menyeluruh bagi mencari punca kejadian tersebut.

Katanya Kabinet turut memutuskan satu suruhanjaya diraja diwujudkan dengan terma-terma khusus iaitu meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap Teoh bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.

"Pihak Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis juga telah diarahkan bagi menyelesaikan siasatan kes ini dengan secepat mungkin dan laporan mengenainya akan diumumkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kes Teoh, 30, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Ean Yong Hian Wah mendapat perhatian umum berikutan kematiannya yang menimbulkan tanda tanya.

Mendiang ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam Khamis lalu selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Teoh, Najib berkata langkah-langkah itu mencerminkan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk mencari punca kejadian tersebut agar keluarganya dan masyarakat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Katanya kerajaan akan melakukan apa saja yang perlu untuk mencari kebenaran itu dan beliau sendiri akan memaklumkan kepada keluarga Teoh hasil siasatan itu nanti.

"Saya sebagaimana anggota Kabinet yang lain ingin mengetahui punca sebenar kematian Teoh.

"Oleh itu, saya harap semua pihak agar bersabar dan tidak membuat kenyataan yang mengelirukan rakyat serta menimbulkan persepsi yang salah, mengelirukan rakyat atau menjadikan isu ini bermotifkan politik.

Beliau berkata untuk mencari kebenaran kematian Teoh, ia tidak seharusnya dicampur adukkan dengan kepentingan atau unsur-unsur politik tetapi apa yang penting adalah untuk mencari kebenaran. Mstar.

No comments: