Sunday, June 7, 2020

RM50 UNTUK LAPORAN PALSU NEGATIF COVID-19, WARGA ASING DICEKUP POLIS.



Polis menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 untuk warga asing.

Dalam serbuan Ops Pemalsuan Keputusan Ujian Saringan Covid-19 jam 5.40 petang semalam di Jalan Alor, Kuala Lumpur, dua lelaki warga Bangladesh berjaya diberkas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan awal mendapati sindiket beroperasi di kaunter kaki lima kedai di Jalan Alor.

"Kaunter itu sudah beroperasi antara satu hingga dua minggu dengan setiap satu dokumen keputusan negatif ujian saringan Covid-19 dikenakan bayaran RM50.

"Polis mendapati kadar sewaan tapak adalah RM600 sebulan. Premis beroperasi setiap hari bermula 12 tengah hari sehingga 9 malam yang mana seorang penjaga akan ditempatkan di kaunter untuk mengendalikan sebuah komputer riba ketika berurusan dengan pelanggan.

"Sasaran pelanggan dipercayai terdiri daripada warga asing. Dua suspek diberkas di kedua-dua premis diserbu itu didapati bekerja dengan dua lelaki tempatan dan anggaran gaji RM1,500 dan RM1,700 sebulan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 468 Kanun Keseksaan, Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen.

"Polis turut merampas pelbagai barang antaranya dua unit komputer riba, tiga unit mesin pencetak, dua unit mesin laminator dan dua helai kertas keputusan ujian saringan Covid-19.

"Selain itu turut dirampas, sehelai kertas berkepala surat LabLink Medical Laboratory yang terdapat cetakan laporan ujian saringan Covid-19 yang disyaki palsu, sehelai kertas berkepala surat LabLink Medical Laboratory yang kosong dan wang tunai RM1,331.

Foto-Bernama TV

"Polis memandang serius isu pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau berkata, sikap tidak bertanggungjawab dan hanya mengutamakan keuntungan sebegini hanyalah membahayakan orang ramai dan menjejaskan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana-mana polis berdekatan.

Sumber: Harian Metro

https://www.hmetro.com.my/utama/2020/06/586808/polis-tumpaskan-sindiket-pemalsuan-keputusan-saringan-covid-19

No comments: