Korang kenal tak?
Tahniah PM ‘lantik’ Najib pangku Menteri Wanita
KUALA LUMPUR, 9 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ‘melantik’ dirinya sendiri sebagai pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
‘Pelantikan’ itu dibuat bagi menggantikan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai senator, semalam.
“DPPM merasakan jawatan Datuk Seri Najib sebagai pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat amat sesuai dengan dirinya memandangkan tidak ada lagi pemimpin Umno dari kalangan wanita yang layak menggantikan tempat Datuk Seri Shahrizat,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar).
Menurutnya, mungkin semua pemimpin lain yang ada dalam Umno mahupun Barisan Nasional tidak sehebat dan setanding dengan Najib, ataupun mungkin kesemua pemimpin Umno yang lain tidak boleh dipercayai untuk dijadikan menteri.
Katanya, kehebatan Najib sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membuktikan bahawa sememangnya beliau pemimpin serba boleh sehinggakan portfolio yang berkaitan dengan wanita juga beliau perlu jaga.
“Pelantikan ini melengkapkan tiga portfolio kabinet yang dipegang oleh beliau iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan kini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya kepada Harakahdaily.
Malah, ujarnya DPPM juga mencadangkan supaya Najib membolot semua jawatan Menteri Kabinet yang lain.
“Cadangan ini penting supaya membolehkan beliau dikenali dan menjadi popular di kalangan rakyat Malaysia.
“Menteri-menteri kabinet yang lain boleh dikesampingkan, kerana yang pentingnya Datuk Seri Najib popular dan diminati ramai, bukan pemimpin-pemimpin Umno yang lainnya,” kata Riduan lagi.
Paling penting, kata beliau adalah untuk memastikan Najib menang dalam PRU ke-13, tidak kisah apa jadi kepada Umno atau pemimpin yang lainnya.
Mungkin juga, ujarnya Datuk Seri Najib boleh mengagih-agihkan tugasan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada isterinya.
“Mana-mana program yang tidak sempat dihadirinya boleh diserahkan kepada isterinya, kerana isterinya juga bukan calang-calang orang.
“Dengan itu, isterinya boleh diangkat setanding dengan menteri-menteri kabinet yang lain, serta boleh menentukan dasar dan polisi negara,” katanya lagi.
Selain itu, kata Riduan banyak idea dan projek negara serta peruntukan-peruntukan besar boleh ‘disalurkan’ melalui isterinya.
“Ini barulah dinamakan ‘perkongsian bijak’ antara suami dan isteri yang boleh mem’faraid’ kan portfolio menteri antara keduanya,” katanya.-HD
No comments:
Post a Comment