Mahasiswa.. Sudah Bangkit!!!
Kuala Lumpur, 17 Dis : Himpunan aman Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) yang dianjurkan mahasiswa hari ini, 17.12.11 telah berjaya melakar satu sejarah baru kepada gerakan mahasiswa.
Laungan keramat seperti ‘Student Power!’, ‘Anak muda sudah bangkit!’, ‘Mahasiswa sudah bangkit!’, ‘Mansuh AUKU’, dan ‘Tukar Kerajaan!’ telah bergema sepanjang jalan di ibu kota bermula tengahari hari ini sehingga pukul 4 petang.
Perarakan bermula di Masjid Jamek
Menurut sumber, perarakan himpunan telah dimulakan sebaik sahaja selesai solat zohor di Masjid Jamek Kuala Lumpur diketuai Pengerusi BEBAS, Muhammad Safwan Anang@Talib dan pemimpin gerakan mahasiswa lain.
Kehadiran hampir 1,000 mahasiswa dan anak muda serta beberapa wakil parti politik telah membuatkan warga kota hari ini terpegun dan sering kali membunyikan hon kereta sebagai tanda sokongan dengan aksi gempak-gempita anak muda menuntut kebebasan akademik.
Diberitakan YB Tian Chua dari Parti Keadilan Rakyat turut turun bersama mahasiswa dan anak muda berarak ke komplesk membeli-belah SOGO.
Mesej sampai kepada rakyat
Muhammad Safwan dalam ucapannya di hadapan perkarangan SOGO telah menyampaikan amanat penting yang perlu didengar seluruh rakyat Malaysia tentang perjuangan mereka.
“Saya seru ratusan rakyat yang berada di SOGO ini untuk turut bersama kami dalam menuntut kebebasan akademik yang kami bakal serahkan tuntutan memorandum ini kepada wakil pihak kerajaan dan pembangkang sebentar nanti.”, ujarnya yang turut membacakan enam tuntutan BEBAS kepada pemimpin negara.
Selain Safwan, turut menyampaikan ucapan sambil disaksikan ratusan rakyat adalah Ketua Umum Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI), Shahimi Ariffin daripada UniSEL yang menggesa anak muda terutama mahasiswa terus menyatakan sokongan, bukan sahaja dalam himpunan hari ini.
SUHAKAM terima memorandum
Sejurus kemudian, kumpulan mahasiswa berkenaan yang terdiri daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), AKSI, Legasi Mahasiswa Progresif UPSI, PMIUM, ISI UKM, Ma’ruf Club UIAM, Pro-Mahasiswa dan wakil-wakil mahasiswa daripada kampus timur, selatan, utara dan borneo itu terus berarak untuk menyerahkan memo kepada SUHAKAM.
Komisioner Suruhanjaya hak Asasi Manusia, Encik Sani kemudiannya turun untuk menerima memorandum yang diserahkan Muhammad Safwan sebagai tanda hak kebebasan akademik perlu diambil perhatian serius.
Manakala Encik Sani dalam kenyataannya pula menyatakan pihaknya akan mengkaji tuntutan kumpulan mahasiswa terbabit yang turut meminta pihaknya (SUHAKAM) agar membantu usaha suara mahasiswa hari ini.
Di hadapan pejabat SUHAKAM, diberitakan kumpulan mahasiswa berkenaan telah melakukan beberapa gimik yang hampir mencetuskan kemarahan seorang penunggang motosikal.
“Saya bayar road tax, jangan buat kecoh kat sini.”, ujar penunggang motosikal berkenaan yang kecewa dengan tindakan kumpulan mahasiswa yang tiba-tiba duduk di atas jalan raya.
Namun situasi berkenaan berjaya dikawal dengan baik pihak polis yang hari ini menurut wakil kumpulan mahasiswa terkejut dengan sikap ‘baik hati’ pihak polis yang mengawal sepanjang perarakan.
Tiba-tiba Safwan ubah fikiran mahu jumpa Najib
Namun, satu kejutan tiba-tiba dilakukan Pengerusi BEBAS, Muhammad Safwan yang dalam ucapan penutupnya mahu mahasiswa teruskan perarakan setelah hampir dua jam berarak dan mengadakan ‘Speaker Corner’.
Safwan dikhabarkan telah berubah fikiran kerana kecewa tiada pihak kerajaan mahu turun menerima memorandum BEBAS.
“Oleh kerana wakil kerajaan masih tidak terima memorandum ini, kita akan ke PWTC! Kita jumpa sendiri dengan Datuk Seri Najib! Setuju???”, tegasnya yang kemudian disahut dengan penuh semangat oleh mahasiswa.
Datuk Saifuddin terima memorandum
Dan sebaik sahaja mereka tiba di PWTC, secara tiba-tiba kumpulan mahasiwa terbabit diberitakan cuba dihalang sekumpulan ‘Special Branch’ dan pihak polis.
Namun hasil rundingan beberapa minit dengan wakil kerajaan, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sudi turun untuk menerima memorandum BEBAS.
Datuk Saifuddin juga berkesempatan untuk menyampaikan pidatonya yang menyokong usaha mahasiswa menuntut kebebasan akademik.
“Tahniah mahasiswa! Saya akan bersama-sama kamu semua untuk perjuangkan isu ini.”, demikian antara ucapannya.
Diberitakan terdapat juga mahasiswa melaungkan sepatutnya Datuk Seri Najib digantikan dengan Datuk Saifuddin Abdullah sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Bendera Najib diturunkan
Namun, selang beberapa minit kemudian, seluruh yang berada di perkarangan PWTC dikejutkan dengan satu aksi menarik mahasiswa.
Sebuah tiang bendera yang menggantung bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib tiba-tiba digantikan dengan bendera ‘Academic Freedom’.
Yang menghairankan, tiada seorang pun pengawal keselamatan dan pihak polis yang berjaya mengesan tindakan beberapa mahasiswa tersebut.
Mereka kemudiannya mengarahkan bendera ‘Academic Freedom’ berkenaan diturunkan segera dan digantikan semula dengan bendera yang memaparkan wajah Datuk Seri Najib. – GZDaily
No comments:
Post a Comment