TEMERLOH, 15 Ogos: Diikutkan hati, sememangnya beliau mahu meneruskan pelajaran sehingga ke universiti supaya senang kemudian hari.
Namun apakan daya, terpaksa berhenti belajar demi menyara hidup 10 adik-beradiknya yang lain.
Inilah nasib yang menimpa pelajar Politeknik Muadzam Shah, Mohd Khairul Mat Amin, 22, yang kehilangan ayah tercinta pada 4 Ramadan lalu yang pergi buat selama-lamanya ketika mereka masih terasa pemergian ibu tercinta enam tahun lalu.
(Gambar: Mohd Khairul (tiga dari kanan) menerima sumbangan barang daripada Nor Azmi. Paling kanan ialah kakaknya, Norfadilah.)
Mohd Khairul yang merupakan anak kedua daripada 11 beradik malang dari Kampung Paya Keladan di sini, berkata kini mereka betul-betul mengharapkan bantuan dan sumbangan ramai selepas bapa mereka Mat Amin Jusoh, 55, meninggal dunia akibat sakit jantung.
Menurutnya, ibunya meninggal dunia pada 2005 dan sejak itu mereka tinggal bersama ayah yang terpaksa membanting tulang dengan bekerja kampung semata-mata mahu menyara adik beradiknya yang ramai itu.
“Minggu lepas, satu lagi dugaan menimpa kami adik beradik apabila ayah pergi buat selama-lamanya akibat sakit jantung sehinggalah kami hilang tempat mengadu dan bergantung segala-galanya selama ini.
“Tidak mahu adik-adik kebuluran, saya terpaksa melupakan hasrat dan cita-cita dengan menggantikan tempat ayah bagi menyara kehidupan adik beradik yang semuanya masih belajar,” katanya ketika ditemui semasa mengiringi Muslimat PAS Temerloh menyampaikan sumbangan Ramadan hari ini.
Turut serta Pengarah PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Mentakab, Nor Azmi Abdul Majid.
Mohd Khairul berkata, lima adiknya masih bersekolah menengah, tiga di sekolah rendah, kakak sulungnya Norfadilah, 23, masih menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan seorang lagi adiknya belajar di Kolej Shahputra.
Namun tambahnya, beliau bertekad dan berazam walau sesukar mana sekalipun akan berusaha memastikan adik-adiknya mendapat makan dan terus belajar.
“Kini sebagai lelaki tertua dalam keluarga saya sudah ganti ayah, macam mana susah sekalipun saya akan usahakan keperluan untuk mereka dan kami sekali-kali tidak mahu terpisah.
“Saya memerlukan sekurang-kurangnya RM500 untuk belanja dapur setiap bulan dan RM150 belanja bagi setiap adik bersekolah setiap bulan,” katanya.
Namun begitu, Mohd Khairul masih mengharapkan simpati dan ehsan banyak pihak dalam memastikan kebajikan adik-adiknya terbela.
Kepada mereka yang berhasrat menghulurkan sumbangan kepada 11 beradik ini bolehlah berhubung dengan Mohd Khairul Mat Amin di talian 013-2360455 atau terus melalui akaun BSN 06400-29-00005700-2.- Harakahdaily
No comments:
Post a Comment