Monday, June 6, 2011

Muslimat Makin Manthop:Muslimat Mahu Pasukan IT Antifitnah & Cadangkan Semua Muslimat Kawasan Menghasilkan Laman Web Sendiri.

Dewan Muslimat PAS meluluskan usul mewujudkan pusat informasi parti bertujuan mewujudkan ruang menjelaskan dasar parti dan menepis fitnah yang dilemparkan kepada parti itu.

Wakil Shah Alam Azlin Hezri ketika mencadang usul itu berkata, pusat berkenaan perlu diwujudkan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Apa yang kita harapkan, kita perlu task force. PAS wujudkan satu medan dan ruang menyampaikan maklumat terutamanya berkaitan pilihan raya.

“Betul kita ada banyak laman web dan blog, tapi perlu ada satu (portal) untuk PAS sahaja,” katanya lagi ketika mencadangkan usul berkenaan di muktamar sayap pergerakan itu di Shah Alam hari ini.

Azlin turut menyeru perwakilan supaya mencontohi aktivis internet Wa'el Ghomi – eksekutif muda Google yang mencetuskan revolusi di Mesir melalui media maya.

Azlin juga mencuit hati perwakilan wanita apabila mengajuk dialog daripada filem popular Kung Fu Panda ketika menasihatkan perwakilan bersabar menghadapi apa yang disifatkannya sebagai fitnah.

“Kita perlu kepimpinan keluarkan idea... kita mesti pakai kekuatan dalaman.

“Kamu akan dapat kekuatan daripada ketenangan dalaman,” katanya sambil disambut gelak ketawa daripada kira-kira 600 orang perwakilan di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.

Media sedia ada terhad

Usul itu menerima sokongan daripada ketua penerangan dewan berkenaan, Salbiah Abdul Wahab yang melihat keadaan itu sebagai cabaran kepada muslimat PAS memperluaskan kebolehan mereka.

“Saya juga ingin menyatakan di dalam dewan ini ramai dari ahli yang ada (akaun) blog, Facebook dan Twitter. Saya (rasa) kita patut perkasakan kebolehan anda sekalian,” katanya.

Sementara itu, wakil Muslimat Dungun, Khairah Mokti turut serta berbahas dengan mencadangkan semua Muslimat kawasan menghasilkan laman web sendiri.

"(Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) pun ada dah ada Facebook sendiri,” katanya.

Seorang lagi perwakilan, Erna Aznira Anuar pula berkata, usaha bagi mewujudkan pusat pasukan bertindak informasi itu perlu memandangkan PAS kini masih kurang menggunakan media baru.

“Kita ada, contohnya TV Kelantan tetapi terhad,” katanya lagi yang berpandangan bahwa PAS patut mempunyai mekanisme khusus bagi usaha berkenaan. Mkini

No comments: