KUALA LUMPUR, — Pendirian Melayu ultra Melayu makin ketera yang diperlihatkan oleh Umno selain kemunculan seks video yang bertujuan mencemar imej kepimpinan Pakatan Rakyat adalah petanda-petanda jelas pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum Pakatan Rakyat itu percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memanggil pilihan raya umum ke-13 sebelum Ogos ini.
Barisan Nasional (BN) menguasai Dewan Rakyat dengan majoriti mudah.
“Saya boleh kata sebelum (bulan) puasa, sebelum Ogos (bulan Ramadan mengikut kalendar Islam). Jika tidak, sejurus selepas bulan puasa,” kata Anwar kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
Bulan Ramadan akan bermula awal Ogos di mana umat Islam akan mula berpuasa selama sebulan dan disusuli dengan sambutan Aidilfitri awal September.
Sebulan selepas itu umat Islam akan pergi ke Mekah untuk menunaikan haji. Bermakna ada ruang selama sebulan antara awal Syawal sebelum musim haji bermula.
Pilihan raya umum ke-12 telah diadakan pada 8 Mac 2008 dan mandat semasa akan berakhir April 2013.
Desas-desus sebelum ini menyebut pilihan raya umum ke-13 bakal diadakan awal tahun ini, tetapi setakat ini ramalan itu telah meleset.
Malah ramalan seterusnya menyebut bahawa pilihan raya umum akan diadakan sejurus selepas pilihan raya negeri Sarawak, yang berakhir 16 April lalu, juga meleset.
Penganalisis dan pemerhati berkata tidak mungkin pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam sebulan dua ini ekoran prestasi di Sarawak di mana BN hanya memperoleh 55 kerusi, lebih rendah berbanding 2006, walaupun jumlah itu melebihi majoriti dua pertiga.
Selain undi populariti yang menurun, sokongan pengundi Cina juga belum kembali pulih.
Justeru, penganalisis dan pemerhati memberi tarikh baru pilihan raya umum iaitu pilihan raya akan diadakan pada suku akhir tahun ini ataupun awal tahun depan.Sumber
No comments:
Post a Comment