Wednesday, June 24, 2009

Dato' Haji Fadzil bin Mohd Noor perjuanganmu tetap diteruskan.

13 Mac 1937 -23 Jun 2002

Dato' Haji Fadzil bin Mohd Noor
dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar dan Maktab Mahmud pada tahun 1951 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir atas tajaan biasiswa kerajaan Kedah pada 1963 hingga 1967. Sekembalinya dari Mesir beliau mengajar di Maktab Mahmud dan kemudian sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978) dan terakhir beliau memegang jawatan tertinggi Parti Islam Semalaysia( PAS) sebagai Presiden PAS.

Beliau mula bertanding dalam Pilihanraya Umum 1978 menentang Datuk Senu Abdul Rahman tetapi kalah. Pada tahun 1981, beliau dipilih sebagai Naib Presiden PAS dan kemudian Timbalan Presiden pada 1982. Pada 30 Mac 1989 beliau dipilih sebagai Presiden PAS selepas pengunduran Tuan Guru Hj Yusof Rawa.

Beliau merupakan ADUN Bukit Raya untuk lima penggal berturut-turut walaupun cuba bertanding bagi kerusi Parlimen beliau tewas, sehinggalah pada Piliharaya Umum 1999, beliau berjaya mengalahkan Datuk Othman Abdul untuk menduduki kerusi Parlimen Pendang dan mengekalkan kerusi ADUN Anak Bukit (sebelum itu Bukit Raya).

Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Lim Kit Siang yang kalah dalam pilihanraya umum itu.

Pada 1998, beliau dilantik sebagai Pengerusi GERAK (Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia). Gerak ditubuhkan oleh PAS,DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan disertai oleh 15 pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk menegakkan keadilan selepas pemecatan dan penahanan Datuk Seri Anmar Ibrahim. Pada 10 Jun 2002 beliau memerima rawatan selepas melakukan pembedahan pintasan jantung sebelum itu beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu kerana mengadu sakit dada.Beliau kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 23 Jun 2002 di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat sakit jantung pada jam 10.30 pagi.Kehilangan beliau amat dirasai oleh semua jemaah PAS dan pejuang-pejuang Islam dalam dan luar negara. Jasa beliau dalam menguatkan PAS amat besar PAS bukanlah parti seperti sekarang jika beliau tidak membimbing ahli-ahli serta penyokong PAS dalam menjadi parti politik yang utuh di Malaysia kini. Gandingan beliau bersama Tuan Guru Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Aziz telah memantapkan PAS menjadi parti politik yang kuat seperti sekarang. Kini tampuk kepimpinan yang diambil alih oleh TGHA mengambil contoh kepimpinan Allahyarham supaya parti PAS tetap relevan dalam mermatabatkan Islam di Malaysia.

Antara kata-kata beliau ketika majlis penutupan Muktamar PAS ke-48, muktamar yang terakhir sebelum beliau menghembuskan nafasnya terakhir.

"... kalau boleh saya tak nak berhenti bercakap sebab saya berucap dengan orang yang saya kasihi dan saya sayang!"

No comments: