Wednesday, May 13, 2009

Yusuf Estes terima hidayah dalam satu malam dari Paderi beralih menjadi Pendakwah Muslim.



YUSUF Estes menyifatkan pengislamannya sebagai perkara yang paling berharga dalam hidupnya.



HIDAYAH datang tanpa disangka. Walau sehebat mana sekalipun menangkis, namun atas kehendak Allah s.w.t., maka kita akan menerimanya dengan hati yang reda. Begitulah yang melanda kehidupan seorang paderi kelahiran Amerika Syarikat (AS), Yusuf Estes hingga beliau menerima Islam sebagai pengabadian hidup.

“Ramai orang bertanya kepada saya, bagaimana pengkhutbah atau paderi boleh memeluk Islam terutamanya setelah mengetahui semua perkara negatif mengenai Islam hampir setiap hari. Bagaimanapun, saya menyifatkan pengislaman ini sebagai perkara yang cukup berharga setelah menerima hidayah Allah s.w.t,” ujarnya yang merupakan paderi tentera di Penjara Awam AS.

Yusuf Estes dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kuat pegangan Kristian di Midwest. Keluarganya bukan sahaja membina gereja dan sekolah tetapi merupakan orang pertama yang meneroka kawasan tersebut. Beliau masih berada di sekolah rendah semasa ditempatkan di Houston, Texas pada 1949.

“Saya selalu mengikut keluarga ke gereja dan dibaptiskan pada usia 12 tahun di Pasadena, Texas. Sebagai remaja, minat untuk mengunjungi gereja-gereja lain dan mendalami ajaran dan kepercayaan Kristian semakin bercambah.

“Pada masa yang sama, saya turut berminat mengkaji agama lain termasuklah Hindu, Yahudi, Buddha, Metafizik dan kepercayaan asal orang Amerika. Tetapi entah kenapa, saya tidak mengkaji Islam secara serius berbanding agama-agama tersebut,” ceritanya mengimbas kenangan yang membawanya mengenali agama Islam.

Membesar dalam sebuah keluarga yang berpegang kuat pada agama, sedikit sebanyak membuatkan Yusuf cenderung kepada genre muzik Gospel dan klasik. Akhirnya, beliau memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang berkaitan dengan muzik dan agama.

Bakatnya itu membawa beliau dilantik sebagai paderi muzik di beberapa buah gereja dan kemudiannya mula mengajar keyboard pada 1960. Beliau berjaya memiliki studionya sendiri pada 1963 dengan nama Studio Muzik Estes di Laurel, Maryland.

Selama 30 tahun, beliau dan ayahnya bergandingan menguruskan projek perniagaan yang berasaskan hiburan dan persembahan. Beliau turut membuka stor piano dan organ dari Texas dan Oklahoma hingga ke Florida. Akui Yusuf, bisnesnya amat menguntungkan tetapi beliau tidak menemui ketenangan jiwa.

Namun pada 1991 ketika berumur 54 tahun, beliau menemui bahawa kepercayaan mengenai agama Islam terkandung di dalam kitab Injil. Baginya, ini adalah sesuatu yang melampau dan di luar dugaan terutama apabila beliau mendapati pembawa kitab Injil yang digunakan untuk mengembara seluruh dunia terlalu membenci Islam.

Menurut Yusuf, ayahnya bergiat aktif dengan menyokong aktiviti gereja terutama program sekolah di gereja dan ditahbiskan sebagai paderi pada 1970. Kemudian ayah dan ibu tirinya mengenali banyak paderi dan mengunjungi Oral Roberts dan membantu dalam pembinaan Prayer Tower di Tulsa. Mereka juga adalah penyokong kuat Jimmy Swaggart, Jim dan Tammy Fae Bakker, Jerry Fallwell, John Haggi termasuklah musuh ketat bagi orang Islam, Pat Robertson.

“Mereka turut menerbitkan kaset puji-pujian dan mengedarkannya secara percuma ke beberapa rumah warga tua dan hospital. Pada 1991 juga, beliau memulakan bisnes dengan seorang lelaki yang berasal dari Mesir. Ayah mahu saya berjumpa dengannya.

“Dalam kepala, saya terbayangkan tentang piramid, Sungai Nil dan segala keindahan yang terdapat di Mesir. Tetapi, setelah ayah memberitahu saya bahawa lelaki ini adalah Islam, hati saya tersentak. Bagaimana ayah boleh mempercayai individu yang menganut agama yang menyuruh umatnya menjadi pengganas dan pengebom berani mati? Saya tidak mahu berjumpa dengan lelaki ini hanya kerana dia adalah Muslim!” kata Yusuf.

Bagaimanapun ayahnya tetap memaksa beliau berjumpa dengan lelaki itu yang bernama Mohamed Abel Rehman dengan menyifatkannya seorang lelaki yang baik. Apabila menemuinya, Yusuf amat terkejut kerana penampilan Mohamed jauh meleset daripada sangkaannya.

“Saya selalu mengandaikan bahawa lelaki Islam mestilah berjanggut dan memakai serban di atas kepalanya tetapi penampilannya jauh berbeza. Dia amat ramah dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Walaupun begitu, saya berpendapat, dia perlu diselamatkan,” cerita Yusuf mengenai pertemuannya dengan lelaki tersebut.

Kesempatan bertemu dengan Mohamed, Yusuf mengajukan beberapa soalan berkaitan agama dan kepercayaan kepada Tuhan. Mereka kemudiannya berbual panjang dan mendapati Mohamed sangat mesra dan tidak menyampuk semasa Yusuf bercakap. Oleh itu, beliau berpendapat, yang Mohamed akan menjadi penganut Kristian yang baik.

Buat pertama kalinya, beliau bersetuju dengan pandangan ayahnya yang mahu melakukan urusan bisnes dengan lelaki yang berasal dari Mesir itu dan bercadang mengajaknya untuk mengikuti trip perniagaan ke Texas.

Peluang untuk menarik Mohamed kepada agama Kristian terbuka luas apabila Mohamed ingin berpindah keluar daripada rumah yang didudukinya dan bercadang tinggal di masjid buat sementara waktu. Yusuf memohon kebenaran dari ayahnya agar Mohamed tinggal di rumahnya supaya dapat menguruskan perniagaan dengan lancar.

Kesibukan dengan perniagaan tidak menghalang Yusuf menziarah rakan-rakan paderinya yang menetap sekitar Texas termasuklah salah seorang rakannya yang dimasukkan ke hospital kerana diserang sakit jantung. Beliau membawa Mohamed melawat rakannya yang terlantar sakit itu dengan harapan dapat berkongsi pandangan mengenai agama. Tetapi rakannya tidak berminat mengenai Islam.

Bagaimanapun suatu hari, Yusuf didatangi seorang lelaki yang berkerusi roda dan merupakan teman sebilik rakannya. Melihat keadaan dan sikapnya, beliau dapat mengagak bahawa lelaki tersebut dalam kesunyian dan memerlukan seseorang untuk membantunya.

“Saya pergi kepadanya dan berkongsi cerita mengenai kisah Nabi Yunus yang ditelan ikan paus dan tenggelam di laut tetapi tiga hari kemudian, Nabi Yunus timbul semula dan kembali ke bandarnya dengan selamat. Pengajaran daripada kisah di atas ialah setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.

“Selepas berkongsi cerita dengannya, lelaki itu memandang saya dan memohon maaf di atas sikapnya yang kurang sopan dan pernah berhadapan dengan masalah serius beberapa tahun lalu. Kemudian dia ingin membuat pengakuan tetapi saya bukan paderi Katolik.

“Saya terperanjat apabila lelaki itu mengaku bahawa dia adalah paderi Katolik yang dikenali sebagai Father Peter Jacob. Saya memanggilnya Pete. Dia kemudiannya berkongsi kisah hidupnya dengan saya semasa menjadi mubaligh Kristian selama 12 tahun ke serata AS dan Mexico.

Apabila dia dibenarkan keluar daripada hospital, saya mengajaknya tinggal bersama kami. Pete turut menceritakan bahawa paderi Katolik turut mendalami Islam dan ada sebahagiannya memiliki Doktor Falsafah dalam bidang berkenaan,” ceritanya panjang lebar.

Sejak Pete tinggal bersama mereka, Yusuf dan keluarganya membincangkan mengenai Kristian sewaktu makan malam sebagai usaha untuk menarik Mohamed kepada agama tersebut. Yusuf juga menyoal Mohamed mengenai jumlah versi al-Quran yang diturunkan sejak 1,400 tahun lalu. Mohamed menyatakan bahawa hanya ada satu sahaja al-Quran dan tidak ada versi yang lain. Malah al-Quran adalah kitab panduan yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w.

Selepas melalui banyak perbincangan mengenai agama, Pete berminat mengikut Mohamed ke masjid semata-mata ingin melihat aktiviti di sana. Mereka pulang awal dan Pete memberitahu Yusuf, tidak ada apa yang istimewa melainkan jemaah mendirikan sembahyang di masjid dan pulang ke rumah setelah selesai. Namun, beberapa hari kemudian, Pete menyatakan hasrat yang serupa.

“Hari sudah larut malam tetapi mereka masih belum balik. Akhirnya setelah lama menunggu saya terdengar ketukan di pintu dan sebaik membukanya, saya terkejut melihat lelaki di sebelah Mohamed yang memakai jubah dan ketayap berwarna putih dan amat mengenalinya. Rupanya lelaki itu ialah Pete! Oh Tuhan, saya memang terkejut bagaimana Pete boleh tertarik kepada Islam,” ujar Yusuf tentang perubahan yang berlaku ke atas Pete.

Yusuf yang tidak berpuas hati mendapatkan isterinya untuk bertanyakan hal tersebut. Tambah mengejutkan apabila isterinya turut tertarik dengan Islam kerana di situ terletak kebenaran yang dicari-carinya sekian lama. Untuk mendapatkan kepastian, beliau mendapatkan Mohamed dan mengajaknya berbincang di luar.

“Kami keluar berjalan dan bercakap sepanjang malam hinggalah tiba waktu bagi Mohamed untuk mendirikan solat Subuh. Ketika itu, saya tahu yang kebenaran sudah tiba akhirnya dan kini adalah masanya untuk saya memainkan peranan.

“Saya pergi ke bahagian belakang rumah dan mendapatkan papan lapis dan bersujud di atasnya seperti orang Islam bersembahyang. Saya kemudiannya berdoa, ‘Ya tuhanku, sekiranya engkau ada, berikanlah aku panduan.’ Apabila saya mengangkat kepala, hati saya mula terdetik sesuatu. Tiada pari-pari atau burung berterbangan di langit atau bunyi muzik tetapi, saya sedar ada sesuatu telah berubah,” jelasnya. Yusuf kemudiannya naik dan mandi dengan harapan membersihkan diri daripada segala dosa yang membelenggu hidup saya selama ini. Saya seolah-olah memulakan hidup baru yang berpaksikan pada kebenaran Islam.

Tanpa menunggu masa yang lama, pada pukul 11 pagi itu juga, Yusuf melafazkan dua kalimah syahadat dengan bersaksikan Pete dan Mohamed. Malah, isterinya turut mengikut jejak yang sama. Selang beberapa bulan, ayahnya juga memilih untuk memeluk agama Islam. Yusuf tidak dapat membayangkan betapa indahnya, saat-saat mereka mendirikan sembahyang berjemaah di masjid bersama para jemaah yang lain.

Selepas memeluk Islam, beliau mengeluarkan anak-anaknya daripada sekolah Kristian kepada sekolah untuk pelajar beragama Islam. Datuknya adalah orang terakhir dalam keluarga mereka yang melafazkan dua kalimah syahadat.

“Islam terlalu istimewa kerana berupaya menarik paderi seperti saya, Pete dan ayah yang selama ini kuat pada pegangan agama Kristian. Hanya dengan keagungan-Nya, kami diberi panduan untuk melihat kebenaran Islam tanpa membutakan mata dan hati masing-masing. Selepas 10 tahun, anak-anak saya juga sudah boleh menghafaz al-Quran dengan baik.

“Islam telah mengubah cara saya melihat kehidupan ini dengan lebih bermakna,” ujarnya mengenai kehidupannya selepas bergelar Muslim.

2 comments:

ADIB said...

Salam..apabila nur hidayah telah menembusi ke dalam hati, tiada apa yg dpt menghalang. kerana ia datang dari Ilahi.Semoga cahaya hidayah di dlm diri kita akan terus bersinar. Ya Allah matikanlah kami dalam Islam...aminnnn

Na'im Nikmat said...

Amin YaRabbala'lamin