Monday, April 27, 2009

Datuk Ishak Baharom Mufti yang menegakkan 'Amar Maaruf Nahi Munkar'

Datuk Mufti Haji Ishak Baharom


(1 Januari 1928- 30 Januari 2008)


Dato' Mufti Haji Ishak bin Baharom
merupakan bekas Mufti negeri Selangor Darul Ehsan, dan juga merupakan seorang pendakwah bebas. Beliau telah dilahirkan pada 1 Januari 1928 di Kampung Batu 22, Kanchong Barat, Banting Selangor. Ayahnya Haji Baharom Bin Jaafar, berketurunan Banjar, berasal dari Banjarmasin,Kalimantan Selatan. Manakala ibunya Hajah Fatimah bt Haji Junid berasal dari Melaka. Beliau mempunyai 5 orang adik-beradik. Beliau mendirikan rumahtangga pada 1963 dengan Datin Hajah Maznah bte Yusuf yang berasal dari Manong, Kuala Kangsar Perak. Hasil perkahwinan ini mereka mendapat 3 orang anak. Dato Haji Ishak baharom bersekolah di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 - 1941. Semasa pemerintahan Jepun, beliau tidak dapat meneruskan persekolahan selama 2 tahun. Pada tahun 1945, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam,Seberang Perai,Pulau Pinang. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Darul Ulum,India.

Beliau menjawat jawatan Mufti Selangor pada 16 Ogos 1985 dan disahkan oleh Sultan Selangor . Jawatan terakhir Allahyarham sebelum dilantik sebagai Mufti Selangor pada 1985 ialah Mudir Sekolah Menengah Agama Batu 38 Sabak Bernam . Beliau menjawat jawatan mufti selama 12 tahun (1985-1997).Semasa menjadi Mufti beliau bekerjasama dengan para peguam syarie untuk memantapkan undang-undang Islam terutama undang-undang jenayah Islam di Selangor. Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia,Muhammad Burok melihat inisiatif beliau mendapat sambutan masyarakat Islam.

Namun peristiwa yang amat mengejutkan telah berlaku pada tahun 1997 beliau telah dipecat dari jawatan Mufti Selangor berikutan penegasannya bahawa pertandingan ratu cantik adalah haram. Sebagai Mufti adalah tugasnya untuk mencegah kemungkaran seperti yang disaran Islam yakni 'Amal Maaruf Nahi Mungkar'.Berikutan desakan kerajaan Malaysia yang diterajui Tun Dr.Mahathir pada ketika itu ,Allahyarham telah 'dipecat' daripada jawatan mufti kerana perkara tersebut menjadi isu politik. Kerajaan negeri Selangor menggunakan istilah 'tidak memperbaharui kontrak' beliau yang akan tamat pada Oktober 1997. Ketika itu umur beliau 70 tahun. Berbeza dengan Mufti-mufti yang ada sekarang tiada siapa pun dapat dibandingkan dengan keberaniannya menegakkan Hukum ALLAH sehingga sanggup dipecat.Tindakan tegas beliau ini disifatkan sebagai suara berani seorang Mufti di Malaysia . Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM),Zaid kamaruddin menyifatkan beliau sebagai tokoh yang sukar dicari ganti.Beliau menegaskan perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama Islam. Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam negeri SElangor mengenai Fatwa tentang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik sebenar telah dua tahun diwartakan mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995 ["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)]. Media-media Pro kerajaan menyiarkan bantahan orang ramai terhadap tindakan menggari tiga gadis Melayu yang menyertai pertandingan ratu cantik itu, Pertandingan itu telah diadakan pada 13 Jun 1997 di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa,Subang Jaya.

Walaupun telah dipecat dari jawatan Mufti Sumbangan idea dan pemikirannya berterusan apabila Allahyarham bergiat aktif dalam Parti Islam Semalaysia (PAS) bermula pada 2003 setelah dilantik ahli Majlis Syura' Ulama PAS bagi tempoh dua penggal iaitu 2003-2005 dan 2005-2007.Beliau sering dijemput memberikan penerangan tentang kesyumulan Islam di pentas-pentas politik PAS.

Pada tanggal 30 Januari 2008, Dato' Haji Ishak, berumur 80 tahun, meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala pada jam 2.30 pagi di Hospital Sungai Buloh. Beliau telah dimasukkan ke hospital tersebut pada pukul 6 petang . Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sungai Buloh , Dr.Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa beliau tidak sedarkan diri dan koma akibat pedarahan dalam kepala.Jenazah beliau dibawa ke rumah beliau di No 194 Jalan Tun Sambanthan Taman Sri Andalas Klang. Kemudian dikebumikan pada 31 Januari 2008di kompleks Makam di Raja, Selangor.

Antara pemimpin yang hadir ialah Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifly Ahmad dan Dr Syed Azman Syed Nawawi; Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Osman Sabran; Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Timbalannya, Wan Hasrina Wan Hassan; dan Ketua Penerangan, Salbiah Abd Wahab.

Turut hadir ialah Presiden KeADILan, Datin Seri Dr.Wan Azizah Ahli MPT KeADILan, Ustaz Badrulamin Baharon, Ketua Penerangan Umno, Tan SriMuhammad Muhd Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM), Dato' Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz . Orang awam turut berpusu-pusu menghadiri pengkebumian Allahyarham untuk memberi penghormatan terakhir kepada seorang tokoh yang dianggap berani dan lantang menegakkan syiar Islam.Walaupun beliau telah meninggalkan kita namun jasa dan peranan beliau sebagai Mufti yang mengamalkan 'Amal Maaruf Nahi Mungkar' tetap akan dikenang.Semoga ALLAH mencucuri Roh beliau dan semoga Roh beliau ditempatkan dikalangan para syuhada dan orang-orang yang beriman Amin...

No comments: