Tuesday, March 9, 2010

Pulau Pinang:2 tahun PR memerintah, Umno masih 'gila talak'

TASEK GELUGOR, 9 Mac: Biarpun dua tahun pakatan rakyat memerintah Pulau Pinang, Umno dan Barisan Nasional (BN) masih dilihat 'gila talak' dan sukar menerima hakikat mereka kini bergelar pembangkang di negeri itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, sikap itu jelas dapat dilihat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Umno dan BN masih enggan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menjayakan program untuk kebaikan rakyat negeri itu.

"Kerajaan Negeri boleh bekerjasama dengan mana-mana Adun pembangkang untuk mengadakan program kemasyarakatan tetapi jelas, mereka angkuh.

"Untuk adakan juga kita terpaksa menyalurkan melalui agensi lain, " ujar Lim ketika berceramah di Pusat Pendidikan Islam Padang Menora, Tasek Gelugor sempena Ulangtahun Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Tegas Lim, mereka bukan sahaja enggan memberikan kerjasama, malah menyerang pula kerajaan negeri dengan isu perkauman dan agama seperti anti Melayu, diktator dan pelampau Cina.

Serangan sedemikian jelas Lim kerana kemarahan segelintir kepimpinan Umno dan BN ekoran syarikat kroni mereka terlepas peluang mendapatkan projek semenjak kerajaan negeri memperkenalkan sistem tender terbuka.

"Tengok kes gerai mereka sanggup mengheret Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bersama bersekongkol menyerang kita.

"Sepatutnya kita sama-sama membina keutuhan kerana Kerajaan Negeri bukan anti Melayu-Islam, " tegasnya.

Dalam ceramah itu juga, Lim mengumumkan kerajaan negeri akan memberikan RM100 setahun kepada warga emas bagi menghargai mereka dan berusaha membasmi miskin tegar tidak kira bangsa, agama dan latar belakang politik.

Pemberian itu akan bermula penghujung Mac ini kepada warga emas berdaftar.

Turut berceramah malam tadi ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Dr Mansor Othman dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Sumber:Harakahdaily

No comments: