Saturday, August 1, 2009

Sasaran 100,000 berjaya, kata Anwar


KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Perhimpunan Mansuhkan ISA dianggap berjaya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila lebih 100 ribu berhimpun di ibu negara hari ini walaupun mereka tidak berjaya berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum akibat sekatan tegar polis.

Dalam sidang media bersama pemimpin Pakatan Rakyat dan GMI di pejabat agung PAS, Anwar berkata, tindakan tegar polis menghalang perarakan ke Istana Negara menyebabkan peserta perhimpunan berselerakan di seluruh ibu negara.

Turut serta berada di ibu negara adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sebahagian besar peserta perhimpunan pula berhimpun di tiga tempat iaitu Sogo, Masjid Jamek dan Pasar Seni. Namun mereka tidak berjaya berkumpul sekali untuk berarak ke istana kerana sekatan tegar polis.

Mereka hanya berjaya berkumpul sekejap di depan Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut untuk mendengar sedikit ucapan pimpinan Pakatan sebelum disembur air dan gas oleh polis.

Anwar kemudiannya mengadakan sidang media dalam bangunan pejabat PAS itu bersama pimpinan Pakatan dan GMI.

Anwar berkata, memorandum 10 tuntutan akan dihantar ke istana Negara apabila suasana mengizinkan.

Lebih 200 peserta pula ditahan polis termasuk para peniaga yang disyaki menjual barangan berkaitan Pakatan Rakyat dan ISA.

Antara tokoh yang ditangkap adalah Mujahid Yusof, Sivarasa Rasiah, Norlela Othman, Aiman Athirah Al Jundi dan beberapa nama besar lagi.

Sumber:http://siasahdaily.blogspot.com


Versi HarakahDaily.Net

KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Sidang media khas yang diketuai Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi antara lain memutuskan akan menghantar Memorandum 10 Dekralasi ISA kepada Yang Dipetuan Agong dalam masa terdekat.

Sidang media turut dihadiri Lim Kit Siang; Dato Mustapha Ali, Dato' Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh serta beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. Demikian lapor wartawan Harakah, NYZA AYOB dari Pejabat Agung PAS.

Oleh kerana sekatan dan kekangan polis yanga agak ketat, menyebabkan tiada siapa dari pimpinan GMI dan Pakatan Rakyat yang bolos ke Istana Negara. Sebaliknya semua kumpulan penyokong berpecah dan akhirnya menuju ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut.

Antara tuntutan 10 Deklarasi ISA itu ialah mahu kerajaan melaksanakan siasatan awam dan menyiasat semua kes penyiksaan, penganiayaan, kezaliman dan tidak berperikemanusiaan ISA selama ini.

Anwar menyifatkan Himpunan MANSUH ISA berjaya mencapai sasaran apabila lebih 100,000 penyokong Anti-ISA berkumpul di merata tempat sekitar Kuala Lumpur setelah di halang secara tegar oleh pihak polis.

Dianggar lebih 200 orang ditahan sebelum dan semasa perarakan. Antara ahli parlimen Pakatan Rakyat yang ditahan termasuklah Dr. Mujahid Yusuf Rawa dan Sivarasa Rasiah. Tengahari tadi pula, Norlaila Osman, Narshitah Mohd Nor dan Aiman Athirah Al-Jundi juga turut ditahan.

Kesemua mereka yang ditahan dipercayai telah di bawa ke IPD Cheras. Para peguam kini sedang berusaha untuk menyelesai dan membebaskan ke semua tahanan tersebut.

HarakahDaily.Net/-

No comments: