Takungan Lynas di Australia bocor sisa radioaktif
KUALA LUMPUR, 30 Nov: Gabungan Hentikan Lynas (SLC) terkilan dengan pendedahan Rangkaian Toksik Nasional (NTN) dari Australia pada 28 November lalu bahawa sejak Mei 2011, tasik takungan Lynas di Mt Weld, Australia mengalami kebocoran sisa radioaktif sebanyak 14,000 liter sehari, ataupun kira-kira 5 juta liter setahun.
Pengerusi SLC Andansura berkata, peristiwa tersebut tidak munasabah sekali kerana Lynas telah memberikan jaminan berkali-kali bahawa bahan galian adalah begitu rendah tahap radioaktifnya sehingga boleh diangkut sebagai bahan tidak beradioaktif dari Mt Weld ke Pelabuhan Freemantle di Australia Barat berjarak 1,000 km.
Andansura menganggap jaminan yang dibuat oleh Lynas adalah lebih bersifat omong-mong kosong daripada berdasarkan fakta dan sains.
“Bahkan pihak pengurus Lynas di Malaysia juga berjanji bahawa sisa-sisa radioaktif yang ditinggalkan di Malaysia akan dikitar semula serta digunakan sebagai papan gipsum dan baja melalui kajian dan penyelidikan (R&D).
“Hakikatnya, R&D tersebut belum lagi dibuktikan berjaya di mana-mana bahagian di dunia ini,” katanya kepada Harakahdaily.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan SLC, Lee Chean Chung juga membidas sikap Lynas yang seperti talam dua muka.
“Hakikatnya, Lynas telah mengambil kesempatan ke atas akta-akta Australia iaitu Peraturan Keselamatan Radiasi WA 2002 bahawa jika bahan yang diangkut tidak digunakan untuk proses kimia ataupun pengeluaran bahan radioaktif (uranium dan thorium), maka tahap radiaktiviti yang dibenarkan boleh mencapai 10 Bq/g,” katanya.
Menurut Chean Chung, tahap sebenar radioaktiviti bahan yang diangkut tersebut mencecah 3.5 and 8 Bq/g, jauh melebihi standard antarabangsa yang diikuti oleh Australia mahupun Malaysia, iaitu 1.0 Bq/g.
Sehubungan itu, Andansura mendesak kerajaan memberhentikan kerja pembinaan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan sementara menunggu hasil siasatan di Australia dan Malaysia.
“Antara siasatan bebas yang harus dijalankan harus merangkumi dakwaan New York Times pada hujung bulan Jun 2011 bahawa LAMP mengalami kecacatan struktur dan rekaan yang serius. Ini adalah perkara tersebut belum lagi diperjelaskan oleh Lynas sehingga hari ini dan mencetuskan kebimbangan dan keraguan orang ramai,” katanya.
SLC juga menyeru agar kerajaan membatalkan perjumpaan antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan Lynas.
Menurut Andansura, masa perjumpaan tersebut adalah terlalu sensitif kerana bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Syarikat Lynas di Sydney, Australia.
“Kita tidak mahu kerajaan dilihat sebagai diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memberikan gambaran positif kepada pelabur-pelabur Lynas, terutamanya selepas insiden kebocoran sisa radioaktif yang berlaku di Mt Weld,” ujarnya.- Harakahdaily
N'N: Mana Datuk Karam Sigh Walia??? Begitu murah nyawa rakyat Pahang dipertaruhkan mereka......
1 comment:
Karam dah karam dengan b-end dh Syeikh...yg xkaram hanya kita yg benci dengan pemerintahan b-end dulu, kini &selama2nya...
Post a Comment