Wednesday, January 6, 2010

Lagi Rakyat Didahulukan, Harga Minyak Bakal Naik...

Pakatan Rakyat (PR) meramalkan kerajaan akan menaikkan harga minyak pada tahun ini berdasarkan jaminan Pengerusi Petronas, Hassan Marican bahawa Petronas akan tetap membayar dividen RM30 bilion kepada kerajaan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Lee Boon Chye berkata, jaminan itu jelas memberi gambaran bahawa rakyat yang akan menanggung pembayaran tersebut bagi memastikan RM30 bilion disalurkan pada kerajaan.

Boon Chye, yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, jika bukan rakyat, siapa lagi yang akan membayarnya kerana Petronas sebelum ini mencatatkan keuntungan yang lemah.

“Bila keuntungan lemah, di mana mereka mahu dapatkan RM30 bilion itu. Mahu atau tidak, mereka terpaksa pindahkan pada rakyat dengan cara menaikkan harga minyak dan rakyat perlu terima kenaikan harga minyak yang dijangka naik Mei depan dalam apa cara sekalipun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang menjangkakan harga diesel dan petrol di negara ini dinaikkan sekali gus menambah beban yang ditanggung rakyat selepas menghadapi kenaikan harga gula: dan roti.

Azan berkata, jangkaan dibuat berdasarkan kenyataan Pengerusi Petronas, Hassan Marican yang memberi jaminan Petronas akan membayar dividen RM30 bilion kepada kerajaan.

Boon Chye berkata, sudah tiba masanya Petronas berdiri di atas keupayaan sendiri ketika menguruskan perbelanjaan dan membuat keputusan tanpa perlu melapor kepada Perdana Menteri (PM).

“Sebelum ini, Petronas melaporkan segala perkara kepada PM. Jika keadaan ini berterusan, kita takut keuntungan di peroleh Petronas kelak, hanya PM saja yang layak buat keputusan.

“Sehubungan itu, kita mahu Petronas urus sendiri hal mereka tanpa campur tangan PM dan selebihnya serahkan kepada Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Fariz Musa berkata, kenaikan harga minyak itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan rakyat kerana mereka sudah mengagak perkara sedemikian akan berlaku.

Fariz, yang juga Ketua AMK Terengganu berkata, kenaikan harga minyak yang dijangka naik Februari depan sudah tentu mencetus kemarahan rakyat.

“Mana tidaknya, baru sahaja dikejutkan dengan kenaikan gula dan roti, rakyat terpaksa berdepan pula dengan kenaikan harga minyak. Bukankah itu penyeksaan ke atas rakyat,” katanya .

Katanya, penderitaan ditanggung rakyat di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional memberi nafas yang sangat bermakna kepada PR untuk terus berusaha menawan Putrajaya secepat mungkin.

“Kita mahu tawan segera bagi memastikan kebajikan rakyat diutamakan berbanding BN yang hanya berusaha memperkayakan pimpinan mereka terlebih dahulu dan kesenangan rakyat diketepikan,” katanya.

Sumber

No comments: