Tuesday, May 25, 2010

Tiada Kebebasan Bersuara Dalam MIC....You Speak You Fired!!:Samy Vellu

2 lagi anggota Jawatankuasa Pusat MIC dipecat

KUALA LUMPUR 24 Mei - Dua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, G. Kumar Aamaan dan KP Samy dipecat daripada parti itu hari ini kerana menggesa Datuk Seri S. Samy Vellu segera melepaskan jawatannya.

Selain itu, tindakan berkenaan turut diambil kerana mereka didakwa menjadi tulang belakang dalam menganjurkan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) yang akan diadakan pada 30 Mei ini bagi menggesa Presiden MIC itu berundur.

Kumar Aamaan berkata, Malaysia merupakan negara demokrasi dan setiap individu termasuk ahli parti mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat masing-masing.

''Tetapi di dalam MIC, pemimpin dan ahli-ahli akar umbi tidak diberi peluang untuk meluahkan pendapat masing-masing. Jika sesiapa menentang presiden, hukumannya sangat berat sehingga dibuang daripada parti serta-merta tanpa alasan munasabah.

''Hukuman ke atas saya tidak adil sama sekali. Samy Vellu menghukum sesiapa yang mengingkari perintahnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pemecatan KP Samy dan Kumar Aamaan dikatakan mempunyai kaitan dengan sokongan mereka terhadap kenyataan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V.Mugilan yang mendesak Samy Vellu melepaskan jawatan dengan segera.

Mugilan turut dipecat selepas membuat desakan berkenaan dan beliau kemudiannya bertindak melancarkan GAS pada Sabtu lalu.

Sebelum ini Samy Vellu menyatakan akan berundur sebagai Presiden MIC dalam tempoh lapan hingga sembilan bulan sebelum penggalnya berakhir pada Mei 2012.

Mengulas lanjut, Kumar Aamaan berkata, beliau juga sanggup berjumpa Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu campur tangan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh ahli-ahli MIC berikutan kepimpinan Samy Vellu.

''Hanya Perdana Menteri mampu menyelesaikan masalah ini, jika tidak, Samy Vellu akan menghukum sesiapa sahaja yang menentangnya," katanya.

Dalam pada itu, KP. Samy berkata, beliau turut berhasrat berjumpa Perdana Menteri bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan dan kepimpinan Samy Vellu.

''Saya berjuang untuk parti sejak 37 tahun lalu dan tidak pernah mengambil satu sen pun daripada parti. Saya pernah membawa beribu-ribu penyokong ke dalam parti, saya adalah aset bagi BN tetapi Samy Vellu hanyalah liabiliti.

''Samy Vellu harus menyedari hakikat ini dan tidak patut mengambil keputusan secara membuta-tuli kerana ia hanya akan menghancurkan nama baik parti," jelasnya.

Sumber

No comments: