Saturday, June 6, 2020

PKPB TAMAT ATAU DISAMBUNG?

Foto- Dr. Noor Hisham KP Kesihatan Malaysia.

PKPB tamat atau disambung? 

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disambung atau ditamat, soalan banyak ditanya ketika ini dan menjadi perbualan ramai. 

Sebelum ia dijawab, mari kita lihat situasi jangkitan COVID-19 di negara ini pada masa ini. 

Kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan rakyat tempatan semakin menurun dan kekal satu atau dua digit. Ia menepati unjurun KKM dan faktor menyumbang Ketepatan unjuran ini ialah kepatuhan rakyat Malaysia kepada SOP. 

Syabas kepada kita semua dan terima kasih kepada pasukan keselamatan seperti PDRM, ATM, APM dan Rela yang tegas terhadap segelintir yang 'ketegaq'. 

Namun, kepatuhan kita tidak selari dengan warganegara asing atau lebih khusus pekerja asing. Bagi warganegara asing yang ditahan di depoh tahanan, kita tidak perlu risau kerana dalam kawalan pihak berkuasa. 

Kes dalam kalangan pekerja asing ini terus meningkat kerana mereka tidak patuh SOP. Mereka hanya patuh SOP di tempat kerja tapi tidak apabila di tempat tinggal.  

Kita tidak boleh salahkan mereka kerana terpaksa tinggal berasak di ruang sempit. Mereka tiada pilihan. 

Mereka adalah pekerja asing yang datang ke negara kita kerana faktor kemiskinan. Jika diberi pilihan, sudah tentu mereka mahu berada bersama keluarga di negara sendiri. Tiada siapa pilih hidup dalam kesusahan. 

Jangan anggap peningkatan kes pekerja asing bukan masalah kita. Pekerja asing dari Bangladesh, Nepal, Myanmar, Pakistan dan Indonesia ini sudah menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat kita. 

Hanya sebahagian kecil yang tinggal di tempat yang disediakan majikan seperti tapak pembinaan bagi sektor pembinaan.  Manakala pekerja asing sektor lain, sebahagian besar  tinggal di kejiranan kita. 

Ada yang bergaul mesra dengan kita, membeli barang keperluan di pasar raya sama dengan kita, bagi yang Islam, solat berjemaah dengan jemaah tempatan. 

Mereka sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat kita. Peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan pekerja asing  ini turut menjadi masalah kita. Apatah lagi, mereka mendapat jangkitan ini di negara kita.

Peranan kecil yang kita boleh mainkan ialah memastikan mereka mematuhi SOP jika di tempat awam. 

Peranan lebih besar perlu dimainkan majikan. Penjarakan sosial di tempat tinggal pekerja asing ini menuntut pengorbanan kewangan kerana majikan perlu sediakan lebih banyak tempat tinggal supaya pekerja ini ada ruang untuk penjarakan sosial dan meningkatkan kebersihan. 

Di kala ini, kita semua sama ada majikan atau pekerja biasa perlu main peranan untuk membantu negara demi kelangsungan hidup kerana wabak ini telah menjejaskan kehidupan setiap orang. 

Dan selagi kes pekerja asing terus meningkat, walaupun hanya satu kes ia patut jadi kerisauan kita. 

Kepatuhan SOP oleh rakyat tempatan dan bukan tempatan perlu seiring.  Bila tidak seiring, dua-dua pihak tidak boleh hidup selesa. 

Peranan KKM ialah mengesan pekerja asing yang dijangkiti COVID-19 dan merawat mereka sehingga sembuh. Selepas sembuh, mereka kembali ke tempat tinggal. Risiko jangkitan semula boleh berlaku jika tiada penjarakan sosial di rumah dan amalan kebersihan yang tinggi. 

Jangkitan terus berlaku dan berlaku jika tindakan komitmen semua pihak untuk meminimakan kes pekerja asing ini.

Adakah kita sebagai rakyat tempatan boleh rasa lega jika kes pekerja asing masih tinggi?  Sudah tentu tidak kerana diulangi, mereka sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat kita. 

Lihat kluster masih aktif melibatkan pekerja asing yang juga menjangkiti rakyat tempatan seperti Kluster Pedas, Kg Sg Lui, Jalan Chow Kit, Pasar Besar Jalan Othman, Pengawal Keselamatan Cheras, Selangor Mansion Pasar Borong KL dan Pudu. 

Malah, kluster paling baru dikesan, Pangsapuri Cheras turut merekodkan satu kes positif pekerja asing. 

Jika PKPB ditamatkan, KKM perlu pastikan jangkitan dalam pekerja asing terkawal kerana risiko ia merebak kepada rakyat tempatan adalah tinggi. 

Memang benar virus ini tidak boleh dihapus sepenuhnya. Mengawal kes rakyat tempatan dan pekerja asing sehingga tahap paling minima adalah satu keperluan untuk kita sama-sama kita jalani hidup seterusnya. Life must goes on. 

Adakah PKPB ditamat atau disambung?  Tiada siapa boleh jawab kecuali Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Sama-sama kita nantikan pengumuman sebelum hari terakhir, 9 Jun ini.

Sumber: Facebook Rasmi KKM.

No comments: