Nukilan Sahabatku Akhi Shameel Iskandar
DIA saya kenali sewaktu saya sedang berjogging di sekitar Chemor Perak. Ada keistimewaan yang mendiami peribadi lelaki berusia 50-an itu. Dari segi penampilan terserlah dia seorang yang berpendidikan. Tapi, sejujurnya saya tidak pernah ambil tahu tentang apa kerjayanya. Sama ada kakitangan kerajaan , swasta atau berkerja sendiri. Sama ada masih berkihdmat atau telah bersara. Ikhlas saya tidak pernah bertanya semua itu.
Saya berbangga kerana mengenalinya. Jujur! Saya kagumi darah pejuang yang mengalir dalam jasadnya. Bagi saya dia adalah antara ratusan atau ribuan pejuang melayu tulen yang masih bersisa di bumi yang dahulunya dikenali sebagai TANAH MELAYU ini. Dalam beberapa hal saya tidak bersetuju dengan pendapatnya, tapi atas dasar menghormatinya saya tidak membantah kata-katanya( sekadar membantah di dalam hati sahaja )
Sepanjang perjalanan bersamanya( saya tidak berjoging kerana ingin melayannya berbual-bual) dapat saya kesan tentang pilu dan sendu yang bermukim di dalam hatinya. Pilu dan sendu dengan nasib malang yang menimpa bangsa melayu hari ini. Tangannya tak pernah henti menunjukkan kebun-kebun sayur di sekitar bukit Bangkong Tanah Hitam yang diusahakan oleh orang-orang Cina. Katanya, lama-kelamaan sedikit demi sedikit tanah-tanah di Perak akan akan habis diratah oleh orang-orang cina. Dengan penuh geram dia menyumpah penjajah British kerana membawa masuk orang-orang cina untuk mengusahakan lombong bijih timah. Katanya, kalau orang cina tak dibawa masuk sudah tentu orang Melayu akan menguasai negara secara total.
Di kutuk juga golongan yang mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru( DEB). Katanya, DEB adalah senjata ekonomi untuk orang melayu menyaingi kekuatan ekonomi bangsa-bangsa lain terutamanya orang-orang cina. Tanpa DEB, orang Melayu akan menjadi pengemis dan kerana DEBlah beberapa tokoh korporat melayu telah berjaya dilahirkan. Lebih kurang lima belas minit selepas itu, dimakinya pula golongan yang mempertikaikan kursus Biro Tata Negara(BTN). Dia bertanyakan saya, pernah atau tidak pernah mendengar lagu anak kecil bermain api ( lagu wajib ketika kursus BTN), dia menerangkan betapa lagu itu bukanlah berunsur perkauman tetapi untuk menyedarkan anak-anak melayu yang masih leka dan lena.
Turut dikecamnya ialah kerajaan Perak terdahulu, atau lebih tepat lagi kerajaan pimpinan Dato’ Seri Nizar bersama Pakatan Rakyat ( saya tak mau ulas dengan panjang lebar kerana tidak ingin berpolitik di dalam blog). Katanya, Nizar telah ‘menjual’ maruah orang Melayu kepada Cina.
Tidak terkecuali dari caciannya ialah golongan yang menentang/ mempersoalkan kewujudan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA.). Katanya, dia amat sedih apabila pertubuhan pembela dan penegak Ketuanan Melayu itu diperlekehkan oleh segelintir anak melayu. Dia amat terkilan apabila ada pihak yang mendakwa PERKASA sebagai pertubuhan pelampau Melayuyang persis Klu Klux Klan.
Saya bangga mengenalinya. Jatidiri Melayu saya semakin melonjak. Saya rasa semangat Hang Tuah, Tok Janggut, Dato’ Bahaman dan Dato’ Maharaja Lela telah meresap dan sebati dalam dirinya. Jujur! saya bangga mengenalinya.
Tapi, sayang rasa bangga itu hanya seketika dan padam terus seminggu kemudiannya. Hari minggu , pada detik yang lain, ketika selesai jogging , saya ternampak dia tanpa segan silu sedang membeli nombor ekor di sebuah premis judi yang dimiliki oleh seorang lelaki Cina. Menurut beberapa orang member berbangsa Cina yang bersama-sama berjogging dengan saya, lelaki melayu yang berjiwa patriotik itu memang selalu membeli nombor ekor. Sungguh celaka, lelaki melayu yang kononnya berjiwa patriotik dan sering menyalahkan bangsa lain rupa-rupanya seekor kaki judi. Tiba-tiba saya rasa menyesal kerana mengaguminya. Lagi kesal kerana pernah berjabat tangan dengannya. Entah mengapa, tiba-tiba saya rasa lebih mulia andainya saya memeluk anjing daripada bersalam dengan lelaki melayu itu. Dan jauh di sudut hati, saya berkata, “ babi hutan pun jauh lebih mulia daripada melayu patriotik itu.”
No comments:
Post a Comment