Monday, September 14, 2009

AKU BENCI JUMUD !!


Dr Yusuf Al-Qaradawi : tokoh ulama yang tidak jumud di abad ini


AKU BENCI JUMUD !!

“Kenapa kau nak ajak orang kafir tu pula buka puasa?” seorang tua melenting.

Inilah berkat didikan Islam cara UMNO – laknatullah alaihim ajmain. Islam pada UMNO, hanya melibatkan melayu sahaja. Kalau orang bukan Islam mahu terlibat sama dalam program-program keagamaan orang Islam, itu dilihat seperti menyesatkan.

Pemikiran sesat ini berlaku juga kepada sebilangan orang yang mendokong gerakan Islam. Islam dengan cara jumud yang difahami ini, menyebabkan Islam tidak berkembang.
Lihatlah Saidina Omar yang memerintah. Masakan berbuka puasa, pertemuan dalam Gereja pun sanggup dihadiri oleh Saidina Omar. Diceritakan ketika kedengaran laungan azan Asar di Baitul Muqaddis, Saidina Omar yang ketika itu berada dalam gereja telah meminta izin dari pihak paderi untuk menunaikan solat di beranda luar gereja. Paderi mencadangkan agar beliau menunaikan solat di dalam gereja sahaja, bahkan pihak gereja sanggup menyediakan tempat penunaian solat.

Omar bin Al-Khattab menolak, sambil berkata;

”saya bimbang gereja ini akan menjadi masjid, jika saya menunaikan solat dalam gereja ini”

Inilah sikap keterbukaan yang wujud dalam diri Omar bin Al-Khattab. Beliau tidak pernah menjadikan perbedaan agama sebagai penghalang untuk beliau bersama-sama, berbual-bual dan bersembang dengan sesiapa sahaja.

Justeru, tidak hairanlah Omar bin Al-Khattab berjaya mengislamkan banyak jajahan dunia. Islam berkembang hebat pada zaman Omar. Islam di zaman Omar, tidak sekadar di tanah arab, malah sudah merebak ke bumi ’Ajam, farsi dan afrika.

Semuanya disebabkan ”ketidak jumudan” omar dalam menafsirkan Islam. Jika Islam ini ditafsirkan dalam bentuk yang jumud, tidak hairan, Islam susah hendak berkembang.

JUMUD DALAM STRATEGI DAKWAH

Ada sebilangan pendakwah sendiri, mereka lebih suka memerhatikan islam dari sudut fiqh sahaja, padahal disebalik hukum fiqh itu, terkandung seribu satu maqasid dan siyasah.

Apabila fiqh dirujuk, tanpa memerhatikan maqasid dan siyasah yang terkandung dalam fiqh tersebut, menyebabkan Islam ini dilihat seperti keras, dan susah untuk diterima oleh kaum lain. Tindakan sebeginilah disebut jumud dalam strategi dakwah.

Pemikiran negara hukum menyebabkan ramai yang menolak Islam. Tetapi, pemikiran negara maqasid hukum, amat mudah dijadikan ikutan.

Para da’i perlu dididik dengan pemikiran dakwah, bukan pemikiran ahli fiqh. Jika mereka sudah menjadi ahli fiqh pun, dalam masa yang sama, mereka perlu mempunyai jiwa da’i. Ahli fiqh yang tidak ada jiwa da’i, menyebabkan Islam yang indah akan kelihatan hodoh.

Apabila sebut dakwah, sudah pasti mengandungi seribu satu strategi dalam menyeru manusia kepada Islam. Sabar menerima soalan-soalan susah, memberikan jawapan bernas, huraian-huraian yang mengandungi seribu satu hikmah dan sebagainya, perlu dijadikan asas bagi memahamkan mereka tentang Islam.

Tetapi, jika tidak bersedia menerima soalan-soalan susah, di situ sudah terdapat kegagalan yang paling utama, dalam menyeru manusia kepada Islam. Jika soalan-soalan susah pun sudah tidak bersedia dihadapi, masakan berjaya memberikan jawapan bernas dan huraian-huraian yang mengandungi seribu satu hikmah.

Perbedaan agama menjadikan punca pertembungan merupakan tindakan yang terlalu bodoh. Sebaliknya, tindakan yang paling cerdik adalah, mencari titik kesamaan terlebih dahulu, dan menyatakan kemudahan itu lebih banyak berbanding perkara yang susah dalam agama.

Mahukan keadilan, bencikan kezaliman merupakan ”titik kesamaan” antara muslim dan non Muslim. Jadikannya sebagai alat utama dalam melakukan pendekatan.

Apabila sudah dekat, perkara hukum jangan dijadikan bahan utama yang dibicarakan, tetapi jadikan maqasid hukum sebagai perbicaraan penting. Nyatakan, bahawa unsur kasih sayang, keadilan sejagat, didikan dan sebagainya wujud dalam sebarang keputusan hukum didalam Islam. sebarang keputusan yang tidak berlandaskan kepada maqasid-maqasid ini, itu bukan hukum Islam.

Jika ini berjaya dijelaskan dengan penuh berhikmah, tidak hairan mereka akan menerima Islam. jika tidak memeluk Islam pun, mereka akan menyatakan islam adalah agama yang baik dan wajib diberi sokongan.

PANDAI MELIHAT EMOSI MAD’U

Emosi mad’u juga perlu diambil kira dalam dakwah. Di kala mad’u bencikan UMNO, bercakap mahu berkawan dengan UMNO adalah tindakan yang tidak cerdik.

Justeru, dikala mad’u bencikan UMNO, ucapan yang paling baik adalah ucapan yang melahirkan “sialan” terhadap UMNO. Jika tetap juga bercakap tentang persahabatan dengan UMNO, ia melahirkan kerugian dalam dakwah yang teramat sangat.

Ini merupakan lumrah manusia yang beremosi benci. Apabila mereka membenci sesuatu perkara, kebaikan yang dilakukan oleh orang yang dibenci pun, sudah dinilai sebagai keburukan. Lebih-lebih lagi, jika orang yang dibenci masih lagi kekal dengan cara hidup yang menyebabkan orang membencinya.

Tidak pandai menilai emosi mad’u, merupakan tindakan orang yang jumud dalam strategi dakwah. Justeru, orang yang jumud ini amat susah melahirkan kejayaan dalam dakwah Islamiyyah.

Jika mereka bersifat jumud, Islam yang diperjuangkan, akan kekal disekitar orang Islam sahaja, dan bersifat bertahan, tanpa wujudnya tersebar kepada orang lain. Mereka akan mempunyai pengikut yang kuat, tetapi pengikut mereka susah untuk bertambah.

Justeru, da’i yang berjaya mesti mempunyai kepandaian dan kerajinan. Kepandaian dari sudut strategi dan tidak jumud, dan kerajinan dalam usaha bersungguh-sungguh dalam mencapai kejayaan dakwah.

Tanpa kedua-dua perkara ini, sampai bila-bila pun Islam akan disinonimkan dengan orang melayu. Tetapi, jika ada kedua-dua perkara ini, ‘Islam for All’ pasti akan terbukti.

Sekian

Wallahu ‘Alam


Sumber:Al-Bakistani