yang setia mengikuti blog ini dan ingin mengikuti

Firman Allah SWT:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Surah Al-Hujurat ayat 13)

Innity

Friday, December 10, 2010

Individu2 Yang Perlu Disiasat Dalam Kes Pemalsuan Dokumen Mata Lebam DSAI.....

http://media1.malaysiakini.com/131/6d83cc62c1ac9080a448a6379709484d.gif

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zin Ibrahim menulis surat terbuka kedua kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar agar menjalankan siasatan terperinci berhubung isu keterangan palsu mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya tidak mahu melihat “nasib Pulau Batu Putih” berulang lagi.

Dalam surat terbuka kedua yang diserahkan kepada Ismail, Mat Zin berkata, pemalsuan tersebut dilakukan dengan terperinci bagi memenuhi motif-motif tertentu.

Semalam The Malaysian Insider melaporkan bahawa Putrajaya akan mengumumkan keputusan final Isnin ini sama ada perlu membuka semula kertas siasatan berkaitan insiden mata lebam Anwar, yang berlaku 12 tahun lalu, ekoran dakwaan wujudnya bukti terbaru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu The Malaysian Insider, beliau akan menjawab gesaan pembangkang di Parlimen minggu depan berhubung isu itu dan keputusan yang bakal diumumkan adalah “muktamad”.

Sehubungan itu, Mat Zin mengingatkan Ismail sekiranya Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) boleh memalsukan dokumen-dokumen itu ia akan memberikan impak yang besar terhadap sistem keadilan jenayah negara.

“Tan Sri masih ingat, bila mana satu helai surat sahaja, bertarikh 21 September 1953 yang ditandatangani oleh seorang Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, menjadi antara sebab utama, maruah dan kedaulatan negara tercemar apabila kita terpaksa menyerahkan Pulau Batu Putih (Pedra Branca) kepada Singapura.

“Bayangkanlah apa yang boleh 65 muka surat dokumen yang dipalsukan atas arahan Peguam Negara boleh lakukan terhadap sistem keadilan jenayah kita,” katanya.
Menurut Mat Zin, setiap pemalsuan yang dilakukan itu dibuat secara “deliberate”.
“Saya turut yakin Tan Sri mahir dengan ‘case laws’ berkaitan pemalsuan. Setiap pemalsuan itu adalah dilakukan secara “deliberate”. Tidak ada pemalsuan yang sebegini banyak dilakukan secara tidak sengaja.

“Saya ingin menegaskan bahawa ketiga-tiga laporan perubatan yang dipalsukan itu dilakukan dengan perancangan, persediaan dan pelaksanaannya dilakukan secara ‘deliberate’ bagi memenuhi motif-motif yang jelas. Diari penyiasatan saya dan minit-minit berkaitan boleh membantu mengenal pasti pemalsuan-pemalsuan ini.

“Jika saya yang menjelaskan motif-motif pemalsuan itu dilakukan, mungkin ada pihak yang akan mempertikaikannya atau mungkin ada yang akan mengatakan saya melampau atau bias. Untuk menjauhi tanggapan khilaf sedemikian, apa kata saya jemput Tan Sri menilai sendiri dengan merujuk kepada penemuan ahli suruhanjaya diraja yang terlibat,” katanya.

Mat Zin turut mendakwa pendirian Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini lebih cenderung untuk melindungi individu-individu tertentu, bukan mencari jalan penyelesaian.
“Saya memohon maaf kerana terpaksa menyatakan pendapat saya bahawa pendirian yang PDRM ambil dalam menyediakan jawapan tersebut adalah jauh berbeza, malahan bertentangan dengan pendirian PDRM, ketika menangani siasatan insiden ini pada 1998.

“Saya wajar menegaskan bahawa pendirian PDRM ketika itu, adalah untuk menjalankan siasatan ‘tanpa pilih kasih dan mendapatkan maklumat secepat mungkin’ dan tidak ada sebarang ‘cover-up’ untuk sesiapa pun. Namun begitu pendirian kali ini nampaknya cenderung kepada melindungi orang-orang tertentu,” katanya.

Tambah Mat Zin, beliau tidak akan terkejut sekiranya Gani terlibat dalam pemalsuan dokumen yang membabitkan isu mata lebam Anwar.

“Untuk berlaku adil kepada beliau (Gani), saya tiada maklumat mengatakan yang beliau ada peranan sehingga menyebabkan laporan yang beliau arahkan itu digugurkan daripada laporan suruhanjaya diraja.

“Bagaimanapun saya tidak akan terkejut jika beliau terlibat, oleh kerana orang lain tidak mempunyai kepentingan berkaitan laporan ini.

“Pun begitu saya tidak bimbang dengan ketiadaan dokumen tersebut dalam laporan suruhanjaya, oleh kerana salinan-salinanya adalah dalam kawalan dan rakaman mengenai pembikinan laporan ini, dalam diari penyiasatan saya adalah lengkap dan jelas,” katanya.

Oleh yang demikian, Mat Zin meminta Ismail supaya menimbangkan semula pendirian yang diambil PDRM dalam isu ini.

“Apa yang patut dibimbangkan ialah jika laporan penting sepertimana rekod prosiding suruhanjaya diraja ini, yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pun boleh dimanipulasikan, maka bayangkan apa yang boleh dilakukan terhadap rekod siasatan melibatkan rakyat biasa.

“Apa pun, saya serahkan kepada kebijaksanaan Tan Sri untuk membuat keputusan yang terbaik untuk PDRM dan adil untuk semua pihak.

“Bagaimanpun saya memelihara hak saya, untuk menyambung atau menghentikan setakat ini sahaja, persuratan berkaitan perkara dalam persoalan ini atau perkara yang berkaitan dengannya,” katanya.

Pada 22 November lalu, Mat Zin telah menghantar surat terbuka pertama kepada Ismail yang merujuk kepada usul memotong gaji Peguam Negara RM10 yang dibawa Lim Kit Siang di Parlimen pada 9 November lalu, mengesahkan telah menghantar e-mel kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur itu pada 14 April lalu.

“Sebagai membalas komen beliau terhadap PDRM berkaitan siasatan kes mata lebam, yang sedikit tersasar. Saya turut megesahkan bahawa kenyataan-kenyataan yang beliau petik daripada surat saya bertarikh 15 April 2009 kepada Lembaga Penasihat SPRM dan surat terbuka kepada YBhg Datin Kalsom Taib bertarikh 8 Oktober 2010 (surat terbuka pertama), yang salinannya saya e-mel kepada Tan Sri, adalah betul setakat yang terkandung dalam salinan-salinan asal surat-surat berkenaan.

“Saya akan merujuk kepada kandungan surat-surat tersebut apabila, atau jika berkenaan,” kata Mat Zain.

Ekoran isu dibangkitkan oleh Lim di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz telah memaklumkan bahawa akan membawa isu itu ke Kabinet yang bermesyuarat 12 November lalu.

Beliau turut mengumumkan penjelasan akan diminta daripada Gani bagi memberinya peluang untuk menjelaskan diri beliau yang merupakan hak beliau kepada pendengaran yang adil.

“Saya menyokong sepenuhnya Tan Sri Gani diberikan hak sedemikian oleh kerana hak kesamarataan dari sudut undang-undang dan hak pendengaran yang adil adalah merupakan hak asasi individu yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan wajar dihormati oleh semua pihak.

“Bagaimanapun apa yang menjadi kemusykilan saya kini ialah apabila penjelasan diberi oleh Tan Sri Gani, seorang Peguam Negara, dalam bentuk apa sekalipun, sama ada secara lisan atau kenyataan akhbar atau representasi dan lain-lainnya, pihak berkuasa manakah yang layak dan berhak serta mempunyai kuasa untuk memberikan pendengaran adil kepada semua pihak terlibat dalam persoalan ini.

“Dan, tidak hanya adil kepada Tan Sri Gani seorang sahaja. Sesuai untuk saya nyatakan di sini bahawa pihak-pihak yang terlibat, bukan setakat empat individu yang dinamakan dalam laporan Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Tan Sri Gani, Tan Sri Musa Hassan (bekas Ketua Polis Negara), Dr Abdul Rahman Yusof dan saya sendiri,” katanya,
Mat Zain juga berkata, Jabatan Peguam Negara, polis dan Kementerian Kesihatan juga merupakan pihak yang mempunyai kepentingan dalam perkara ini.

Malah dalam surat terbuka itu, Mat Zain menggesa kerajaan mendedahkan secara terperinci insiden itu bagi mempertahankan imej dan kredibiliti pasukan polis.
Pada Julai 2008, Anwar membuat laporan polis mendakwa Gani, Mat Zain, Musa yang ketika itu pegawai penyiasat dan Dr Abdul Rahman telah memalsukan satu laporan perubatan mengenai kejadian mata lebam itu.

Tan Sri Rahim Nor, ketika kejadian merupakan Ketua Polis Negara, telah mengaku kepada suruhanjaya diraja siasatan bahawa telah memukul Anwar ketika ditahan di Bukit Aman.

Kejadian itu berlaku selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno.

-the malaysian insider

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apa Hujah&Fakta Mereka 1(10 Paling Terkini)

Apa Hujah&Fakta Mereka 2 (10 Paling Terkini)

Apa Perkongsian Mereka (10 Paling Terkini)