yang setia mengikuti blog ini dan ingin mengikuti

Firman Allah SWT:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Surah Al-Hujurat ayat 13)

Innity

Tuesday, September 7, 2010

Nasihat Buat Ibrahim Ali Dan Penyokong2 ASOBIYAH...............




Saudaraku Ibrahim Ali: Jadilah Islam dan Melayu yang Tulen

Saudaraku Ibrahim Ali bukan niat di sini saya hendak menentang perjuangan jitu kamu namun hanya sekadar ingin berpesan – pesan sesama manusia seperti mana yang dituntut oleh Tuhanmu. Saudaraku Ibrahim Ali kalau benar pun pada hari ini kaum bukan Melayu adalah pendatang walaupun realitinya tidak maka kalaulah mereka pendatang seperti mana yang dipercayaimu maka bukankah mereka sebenarnya adalah tetamu jika benar kata kamu Melayu adalah Tuan di Tanah ini ?

Bukankah Islam merupakan satu agama yang paling mulia dan istimewa di dunia ini kerana nilai moral sejagatnya yang begitu menawan ? Bukankah Islam menyeru umat – umatnya melayan tetamu mereka dengan baik ?

Saudaraku Ibrahim Ali,

Setahu saya dalam Islam yang begitu indah ada juga suruhan jika kita hendak sembahyang sunat, tiba-tiba ada tetamu datang ke rumah, kita kena tangguhkan sembahyang itu dan pergi layan tetamu dahulu kerana ini perbuatan ini sendiri pernah dilakukan sendiri oleh Nabi Muhamamd yang kita semua sanjungi.

Sebagai seorang mahasiswa Akademi Pengajian Melayu sini saya juga mendapat banyak karya , kesusasteraan , pantun , sajak dan ungkapan yang melambangkan Melayu juga amat mementingkan dan mengutamakan tetamu.

Saudaraku Ibrahim Ali kalau benar pun benar katamu tetamu – tetamu anda adalah biadap dan tidak sopan. Sepatutnya saudara meneladani sifat Nabi Muhammad yang menerima layanan buruk daripada bangsa Quraisy semasa baginda menyebarkan Islam di Madinah. Cacian demi cacian. Makian demi makian. Godaan demi godaan. Kekejaman demi kekejaman terhadap penganut Islam. Sampai ada percubaan untuk membunuh baginda. Apa reaksi baginda pada ketika itu ? Apa tindakan baginda pada ketika itu ? Baginda tidak pernah membalas sebarang serangan mereka. Baginda bijak mencari keadaan yang lebih aman dan damai untuk mengatasi halangan beliau untuk berdakwah. Sedangkan selepas baginda sudah kuat , kukuh dan mantap dan berlakunya proses pembukaan kota Makkah baginda tidak pernah membalas dendam terhadap bangsa dan individu yang pernah menindasnya.

Jika benar pun Melayu ditindas oleh tetamu seperti katamu maka apakah penindasan mereka jauh lebih teruk berbanding apa yang dilakukan oleh bangsa Arab Quraisya terhadap Nabi Muhammad ?

Layanlah tetamu dengan baik seperti mana Nabi Muhammad dilayan dan dijaga dengan baik oleh Tuan rumah di Makkah.

Seperti mana juga Sultan Melayu Melaka pertama yang kita sanjungi Parameswa dilayan baik oleh Temagi iaitu pemerintah temasik pada ketika itu apabila beliau melarikan diri.

Tuhanmu yang Maha Esa lagi Pengasih pernah berfirman

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat”.[Al-Hujurat(49):10]

Saudaraku Ibrahim Ali,

Sesungguhnya Islam yang mulia dan adil tidak pernah membahagi – bahagi dan membezakan kita semua. Telitilah perjuangan utama proses penyebaran Islam oleh Nabi Muhammad. Baginda sendiri memperjuangkan hak persamaan taraf di Madinah. Sebab itulah ramai golongan hamba yang dihina pada ketika itu mula memeluk Islam dan ramai dalam kalangan mereka mati dibunuh kerana memeluk Islam. Jangan sesekali menjadikan mana – mana bangsa sebagai TUAN di bumi ini kerana TUAN kita adalah Tuhan. Kita semua adalah hambanya. Status kita semua adalah sama. Janganlah terus membeza – bezakan kita.

Mengapa Nabi Muhammad mendapat tentangan yang begitu hebat oleh bangsa Quraisy ? Hal ini disebabkan pada ketika itu suku kaum Nabi Muhammad bukanlah yang paling utama di Madinah. Bangsa Quraisy bimbang kedaulatan bangsanya tergugat.

Sesungguhnya merekalah bangsa majoriti dan utama di sana. Namun jangalah sesekali kamu mengikut jejak bangsa Quraisy terhadap suku kaum lain seperti layanan mereka terhadap Nabi Muhammad. Sebaik – baiknya Islam boleh menerima hamba dan menyamakan status mereka maka jangan sesekali ada dalam kalangan umat Islam cuba meninggikan sesuatu kaum daripada kaum yang lain.

Tuhanmu yang Maha Adil dan Mulia pernah berfiman :
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra di antara satu sama lain). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujuraat, ayat 13)

Saudaraku Ibrahim Ali,

Cubalah cari persamaan sesama kita sendiri dan bukannya perbezaan. Tidak perlu selalu menimbulkan isu majoriti dan minoriti. Realitinya juga bangsa Cina di Malaysia walaupun majoritinya tidak menganuti Islam tetapi bangsa Cina yang dilabel pelbagai olehmu juga merupakan bangsa paling banyak di dunia yang menganuti Islam di China. Dalam hadis ada juga menyatakan bahawa tuntutlah ilmu sampai ke negeri China. Kalau benar pun Cina pada hari ini sudah sangat kukuh dalam ekonomi mereka. Jangalah sesekali melihat mereka merampas ekonomi bangsamu. Tuntutlah ilmu daripada mereka yang sudah berjaya. Kalau benar pun mereka yang sudah berjaya ada kelemahan mereka seperti yang didakwamu maka peribahasa Melayu ada menyatakan buang yang keruh dan ambil yang jernih.
Peribahasa Melayu juga percaya banyak udang banyak garam banyak orang maka banyaklah ragamnya.

Tuhanmu yang Maha Hebat lagi Bijak juga pernah berfirman :
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. [Al-Hujurat(49):11]

Saudaraku Ibrahim Ali sesungguhnya kamu juga khalifah Allah di permukaan bumi. Janganlah sesekalimu berlari daripada landasan yang telah ditetapkan olehnya. Jika kaum lain ada silap dan lemahnya maka peribahasa Melayu juga ada menyatakan bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Janganlah kamu menyerang mereka.

Tuhanmu yang Maha Besar pernah berfiman
“ Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” ( Surah Al-An’aam ayat 108 )

Segala kata – katamu melambangkan bangsa dan agamamu walaupun realitinya sepatutnya tidak begitu. Peribahasa Melayu ada menyatakan terlanjak perahu boleh diundur namun terlajak kata buruk padahnya. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna lagi jika nasi sudah menjadi bubur. Janganlah disebabkan mulut badan kita binasa.

Perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berbeza akidah sekalipun.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud menyatakan bahawa:
Islam merupakan antara agama utama di dunia yang melindungi mereka yang bukan seagama dengan mereka. Perlembagaan pertama di dunia juga ada peruntukkan untuk mempertahankan bukan Islam.

Tuhanmu yang sebenar – benarnya Maha PERKASA pernah berfirman :
“Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti saya, dan barangsiapa yang menyakiti saya, maka ia telah menyakiti Tuhan”.(Riwayat Abu Daud)

Bangsa Melayu amat kaya dengan sifat kesopanan mereka. Sebab itu banyak kesusasteraan yang banyak berlapik – lapik supaya tidak mengguris hati sesiapa. Kesantunan dan kesopanan Melayulah yang menjadi identiti utama selama ini. Tidak kira dari segi pertuturan , perlakuan , perbuatan dan cara mereka melayan tetamu.

Peribahasa Melayu juga percaya biar mati anak jangan mati adat. Jadilah pejuang Melayu yang benar – benar jitu dan tulen. Jangan sesekali biar adat kesopanan dan kesantunan bangsamu mati bersamamu. Sesungguhnya bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat.

Kalau benar pun hendak membangunkan bangsamu maka biar secara bersederhana. Sesungguhnya ini juga cara Islam dan Melayu yang sebenar. Kesederhaaan amat ditekankan oleh Islam sehingga Nabi Muhammad membahagikan kehidupannya kepada 3 peringkat iaitu 1/3 untuk beribadah , 1/3 bekerja dan 1/3 berehat. Lambangnya di sini berjuanglah secara besederhana seperti mana falsafah ini yang terdapat dalam bulan puasa semua Islam diseluruh dunia.

Bersederhanlah jangan mengeluarkan kata – kata kesra dan kesat. Saudaraku Ibrahim Ali tak sedap didengar kata –kata “ shit” sampai 3 kali kamu sebut dalam wawancara oleh Malaysiakini. Jangan saudaraku. Islam melarang umatnya mengeluarkan perkataan – perkataan kasar. Nanti di akhirat nanti malaikat akan catat segala kata – katamu dan timbang segala dosa dan pahalamu. Bahaya kalau lidah itu tidak dijaga. Janganlah menjejaskan keayuan Melayu selama ini.

Saudaraku Ibrahim Ali,

Tanah ini ditukar daripada Tanah Melayu kepada Malaysia bukan tetamu yang tukar. Perdana Menteri Pertama Melayu yang tukar. Bahasa Melayu ditukar kepada Bahasa Malaysia bukan tetamu yang tukar tetapi Perdana Menteri Melayu Kelima kita yang tukar.

Saudaraku Ibrahim Ali,

Niat kamu mungkin ikhlas , jitu , benar dan betul tetapi cara dan tindakan kamu tidak semestinya betul. Apa yang Melayu perlukan pada hari ini adalah peningkatan kemahiran , penguasaan ilmu dan pengetahuan dan pembinaan mental dan fizikal serta pemantapan dan kekuatan diri.

Janganlah silap memberi ubat kepada penyakit yang wujud. Kena fahami dan teliti dahulu punca dan akar berlakunya kepada penyakit. Silap beri ubat nanti ada kesan kesampingan yang lebih teruk dan parah kalau mengakibatkan kematian.

Menyalahkan bangsa lain atas kegagalan dan kelemahan bangsa sendiri bukan ubatnya. Kalau benar pun ramai Melayu yang bankit menentang bukan Melayu. Kalau benar pun semua bukan Melayu di Malaysia sudah tiada lagi di Tanah Suci Melayu ini. Adakah saudara benar – benar rasa Melayu akan menjadi kaya raya dan berkebolehan dalam sekelip mata seperti niat murnimu ? Lihat sahaja pada Indonesia anda akan dapat jawapannya.

Saudaraku Ibrahim Ali,

Percaylah pada qada dan qadar. Tuhan sudah mentadirkan dan merancang untuk semua kaum dan wujudnya masyarakat masdani di Malaysia maka berbaik – baiklah dengan semua. Anda tidak mampu mengubah hakikat yang sudah sedia ada wujud.

Sesungguhnya kekayaan dan kebolehan tetamu bukanlah melalui rampasan. Apakah kuasa dan daya mereka sebagai golongan minoriti untuk merampas ? Mereka datang ke sini dahulu juga sebagai kuli dan hamba di ladang , estet dan kawasan perlombongan. Kerajaan dan pemimpin kerajaan selama 50 tahun ini juga diketuai oleh Melayu dan apatah lagi dipertahankan daulatnya oleh Raja – raja Melayu.

Sempadan kita luas. Jangan sempitkan skop linkungan permikiran kita. Kalau benar pun bukan Melayu merampas ekonomi seperti yang didakwamu maka masih tidak dapat dinafikan Malaysia juga yang mendatang untungnya apabila ada kajian menyatakan bahawa lebih daripada 90% cukai negara adalah daripada golongan bukan Melayu.

Saudaraku Ibrahim Ali,

Kalau benar pun melalui rampasan. Tidak perlu risau. Ikut sahaja falsafah dan teori Blue Ocean Strategy. Satu buku terbitan Universiti Harvard yang menuntut kita mencari pasaran yang belum ditembusi. Buat apa hendak bersaing di pasaran yang sudah keruh dan apatah lagi kata kamu berlaku banyak rampasa perniagaan dan ekonomi dalam pasaran tersebut.

Kalau ramai ibu bapa Melayu percaya pada falsafah jangan terlalu manjakan anak – anak walaupun kita benar – benar mencintai mereka kerana takut mereka menjadi rosak nanti. Mengapa tidak pemimpin Melayu memegang falsafah ini dalam kepimpinan mereka ?

Saudaraku Ibrahim Ali,

Janganlah kuman di seberang nampak , gajah di depan tidak nampak. Kalau qada dan qadar sudah menjadikan kita hidup sebumbung maka bersama – samalah kita bersaudara. Sesungguhnya kita bukan musuhmu. Kita tetap rakyat Malaysia. Kalau ada peperangan menyerang negara ini darah Cina dan India juga akan mengalir dan mati di tanah ini. Musuh kita adalah di luar. Musuh Islam adalah Barat yang menindas Timur dan Islam. Musuh kita adalah Isreal yang menindas Palestin.

Kalau benar pun saudaraku Ibrahim Ali hendak berbaik – baik dan bersaudara dan timbulnya isu tepuk sebelah tangan tidak berbunyi maka tidak apa kerana yang penting niat itu ada dalam kamu sebagai seorang Melayu dan Islam yang sejati. Tabahlah seperti Nabi Muhammad tabah berdakwah dan menyebarkan Islam. Mulakan dengan langkah pertama dahulu. Hulurkan tangan dahulu. Tidak dibalas salaman. Sabar dahulu. Sabar itu sebahagian daripada keimanan. Percayalah sedikit sedikit usahamu lama – lama menjadi bukit juga saudaraku Ibrahim Ali

PERKASA Melayu melalui program yang bermanfaat . Jauhilah isu – isu politik dahulu. Kalau benar pun bangsamu hendak berperang dengan bangsa lain janganlah menyerang membabi buta. Siapkan mereka dahulu. Beri latihan. Beri ilmu. Beri kemahiran. Kuatkan kubu dan senjata mereka dahulu.

Saudaraku Ibrahim Ali,

Sudah 52 tahun kita merdeka bersama – sama. Suka atau tidak suka berdepanlah dengan reality kewujudan pelbagai bangsa di negara kita.

Sediakanlah mekanisme yang terbaik untuk bangsamu melalui PERKASA dan janganlah rosakkan mereka dengan demonstrasi. Melakukan vandalisme dengan membakar harta benda. Islam pantang sesiapa yang merosakkan harta benda. Sebab itu dalam perang sekali pun harta benda tidak boleh dirosakkan.

Bawalah mereka ke pusat latihan berbanding ke jalanan. Bangsamu terlalu Mulia untuk menjadi raja di jalanan. Janganlah silap memimpin mereka.

Tepuklah dada tanyalah selera kalau benar pun segala tohmahan ,serangan dan kritikan terhadap bukan Melayu apa untungnya kepada Melayu selain bertambah musuh dan dendam ?

Saudaraku Ibrahim Ali,

Sebagai Islam jangalah selalu menimbulkan isu Perlembagaan 152 dan 153. Kembalilah kepada Al Quran iaitu sumber perundangan termulia dan tertinggi kepada semua umat Islam. Semua suruhan dan tuntutan Tuhan yang saya ambil daripada atas semuanya dipetik daripada Al –Quran dan Hadis. Janganlah menjauhi diriku yang semakin mendekati dan memahami keindahan agamamu disebabkan perjuangan dan tindakanmu yang tidak selari seperti mana yang sepatutnya.

Saudaraku Ibrahim Ali,

Silapnya bangsa Yahudi pada hari. Dibencinya mereka pada hari ini. Sebab mereka selalu meletakkan satu status quo terhadap kelebihan yang Tuhan beri pada mereka sehingga meninggi – ninggikan diri sendiri . Sebab anggap mereka Tuan di dunia. Anggap mereka istimewa.

Saudaraku janganlah ikut telunjuk Yahudi yang teruk dan jijik itu.

Akhir kata , Hang Tuah pernah berkata Melayu tidak akan hilang di dunia ini namun janganlah sampai tahap Melayu masih hidup tapi nilai – nilainya sudah semakin terhakis. Apa maknanya hidup secara fizikal dan terkuburnya nilai dan identiti sebenar Melayu.

Saya tidak ada sebarang niat jahat di sini kerana juga memetik kata seorang tokoh Melayu iaitu Tun Dr Mahathir yang kamu sendiri sanjungi Melayu itu mudah lupa. Kita saling berpesan dan meningati supaya kita tidak mudah lupa Islam dan Melayu yang SEBENAR.

Doakanlah kebahagian dan rahmat kepada Saudaraku Ibrahim Ali.

Salam bersatu
Salam bertaubat
Salam berbaik
Salam bersederhana
Salam berubah
Salam berpesan
Salam berbudi bahasa

Oleh Shen Yee Aun

Sumber

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apa Hujah&Fakta Mereka 1(10 Paling Terkini)

Apa Perkongsian Mereka (10 Paling Terkini)