yang setia mengikuti blog ini dan ingin mengikuti

Firman Allah SWT:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(Surah Al-Hujurat ayat 13)

Tuesday, December 1, 2009

Tan Sri Dan Dato', Sudah-sudahlah Membodek Tu!

Bukan main lagi, seorang Mufti dan bekas Mufti negara ini menghentam MB Kelantan. Puncanya MB itu menyebut bahawa dia berdoa supaya Allah musnahkan masa depan PM Malaysia dan kumpulannya jika enggan memberi royalti petroleum kepada Kelantan.

Bagi mereka tindakan MB Kelantan itu salah, haram di sisi Islam. Sepatutnya dia berdoa untuk kesejahteraan dan kebaikan kepada Najib. Mengapa? Ya, Najib juga orang Islam. Lainlah kalau doa itu ditujukan kepada kafir harbi.

Seorang bekas Mufti pula berkata, berhajat supaya orang lain ditimpa keburukan bercanggah dengan al-Quran bahkan mencabar al-Quran.

Heee… seram sejuk macam minum ais pada musim hujan, memulas-mulas perut macam termakan gulai basi, bila membaca kenyataan kedua-dua makhluk itu. Bukan main lagi mencari hujah membela, mempertahan, memperkukuh tindakan Najib.

Benar, berdoa dengan keburukan dan kemusnahan kepada orang lain memang tidak boleh. Tetapi, kepada siapa? Berdoa supaya Tuhan menghukum orang yang merampas hak kita, bukan hak kita seorang tetapi hak rakyat keseluruhan, tidak boleh?

Bukan hak rakyat yang hidup di Kelantan pada hari ini sahaja tetapi termasuk hak rakyat yang Kelantan yang bakal lahir. Bukan hak rakyat Kelantan yang berparti PAS sahaja termasuk yang berparti Umno. Bahkan, termasuk rakyat Kelantan yang menjadi saudara-mara Harussani, saudara-mara Noh, termasuk saudara mara Najib dan Rosmah yang tinggal di Kelantan.

Najib tidak menunaikan hak, itu isunya. Berbagai usaha dilakukan untuk membolehkan hak itu ditunaikan, namun Najib macam pekak badak sahaja.

Orang yang pekak badak hanya boleh disedarkan dengan pukulan gong di telinganya. Pukulan gong itu bagi orang Islam ialah ‘doa’. Mudah-mudahan Najib dan orang-orangnya sedar apa yang dibuatnya itu.

Heee…geli-geleman macam nampak ular lidi, bila mendengar kedua-dua tokoh agama itu bercakap mengenai persaudaraan, silatur rahim, pohon maaf.

Sepatutnya kedua-dua tokoh itu menasihatkan Najib supaya menunaikan hak kepada yang berhak. Jangan sampai orang yang menuntut haknya hilang sabar sehingga dia tidak punya cara lain selain berdoa.

Harussani dan Noh ingat isu royalti petroleum isu kecil, isu main-main, isu sampingan? Royalti petroleum untuk Kelantan nilainya bukan seperti sebulan gaji campur elaun Dato' dan Tan Sri. Kalau Dato' dan Tan Sri boleh tidak berpuashati kalau elaun campur gaji Dato' dan Tan Sri tak dibayar, dan sedia berdoa untuk itu, ini royaltilah Dato' dan Tan Sri!

Jangan salahkan orang berdoa, tetapi salahkan orang yang tidak menunaikan hak. Berdoa salah, merampas hak tak salah. Aduh, perut semakin memulas-mulas, mungkin pasai banyak makan daging korban kot?

Sudahlah Harussani, sudahlah Noh. Apa lagi yang al-Fadhil Yang Berbahagia Dato’ dan Tan Sri nak cari? Perut Dato’ dan Tan Sri belum kenyang? Poket Dato’ dan Tan Sri belum cekang? Atau, Dato’ dan Tan Sri ada angan-angan lain?

Sumber:http://bongkarsauh.blogspot.com

Minyak RON95 rosakkan enjin?

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Dua ahli Parlimen, masing-masing daripada PKR dan BN membangkitkan persoalan kualiti dan kebimbangan orang ramai terhadap minyak RON95 yang didakwa akan menjejaskan prestasi enjin.

Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) telah membangkitkan kualiti minyak tersebut yang diperkatakan banyak pihak sehingga terdapatnya notis yang diletakkan di stesen minyak bukan Petronas mengenai petrol RON95 yang boleh membahayakan enjin.

"Ada stesen minyak yang bukan Pteronas telah meletakkan notis bahaya terhadap minyak RON95 dan menyenaraikan jenis kenderaan yang boleh menggunakan minyak ini," katanya mendedahkan kepada Dewan Rakyat.

Manakala Hamim Samuri (BN-Ledang) menyatakan sekiranya minyak kuning (RON95) lebih efisien, maka adalah lebih baik hanya satu jenis minyak sahaja digunakan dan dicadangkan supaya minyak lain seperti RON97 ditarik balik.

Bagaimanapun, tanggapan pengguna terhadap penggunaan minyak petrol RON95 yang merosakkan enjin adalah tidak tepat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe yang menjawab solan tersebut.

Katanya sekiranya enjin kenderaan cukup sekadar dengan pembakaran RON95, penggunaan RON yang lebih tinggi tidak akan memberi kesan kepada keupayaan enjin secara optimum.

Kata Tan negara-negara pengeluar kenderaan utama dunia seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat juga menggunakan petrol RON95.

"Di Eropah, penggunaan RON95 adalah lebih 84 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol yang merupakan bahan bakar utama kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang ingin tahu sama ada minyak petrol yang dijual di stesen minyak Petronas iaitu Primax 95 tidak sesuai digunakan untuk kereta import dan kereta mewah kerana minyak itu boleh merosakkan enjin.

Tan berkata sebelum keputusan untuk memperkenalkan RON95 dilaksanakan, beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak yang terlibat telah diadakan untuk mendapatkan maklum balas daripada setiap aspek penggunaan petrol RON95.

Beliau berkata dengan menggunakan petrol yang mempunyai nilai RON minimum yang bersesuaian dengan keperluan kenderaan sepertimana yang disyorkan oleh pengeluar enjin kenderaan akan memastikan pembakaran berlaku tepat pada masanya lantas mengelakkan berlakunya fenomena ketukan enjin.

Ketika menjawab soalan tambahan Johari mengenai terdapatnya notis yang diletakkan di stesen minyak bukan Petronas mengenai petrol RON95 yang boleh membahayakan enjin, Tan berkata kementerian tidak menyedari mengenai perkara itu.

"Pihak kementerian tidak sedar tentang hal ini, dan kita akan menghantar pegawai penguatkuasa kita untuk memeriksa semua stesen minyak khususnya daripada bukan Petronas," katanya.

Azamin Amin
Sumber:Harakahdaily

UMNO harus terima hakikat bahawa UMNO kini busuk hingga ke ususnya

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Ketika semua media menyuluh apa yang berlaku dalam PAS, Tun Dr Mahathir menulis dalam blognya bahawa seorang bekas pemimpin kanan Umno bercadang untuk menyokong PAS kerana "Umno busuk hingga ke ususnya."

"Umno busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi," kata bekas pemimpin kanan Umno itu kepada Mahathir sebagaimana yang ditulis beliau dalam blognya.

"Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong Umno. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

" Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab Umno tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli Umno juga," tulis Mahathir lagi.

Berikut adalah tulisan penuh Mahathir dalam blognya Chedet yang disiarkan pada 30 November 2009 jam 12:07 tengahari.

1. Pilihanraya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi. Saya sedang meneliti reaksi rakyat terhadap UMNO dibawah pimpinan baru. Saya terkejut. Saya terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata "UMNO is rotten to the core" (UMNO busuk hingga ke ususnya).

2. Beliau telah berkata yang beliau sedang memikir untuk menyokong PAS. Beliau juga berkata beliau telah bertemu ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah bersara dan mereka speendapat dengannya.

3. UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.

4. Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.

5. Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.

6. Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.

7. Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar.

8. UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah.

9. Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan. Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO.

10. Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

11. Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.

12. Rakan-rakan dalam Barisan Nasional semuanya berpecah dan lemah. Mereka tidak mampu menjayakan Barisan Nasional.

13. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja.

Sumber:Harakahdaily

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apa Hujah&Fakta Mereka 1(10 Paling Terkini)

Apa Hujah&Fakta Mereka 2 (10 Paling Terkini)

Apa Perkongsian Mereka (10 Paling Terkini)